Lagi pemimpin kanan PAS tampil menafikan wujud gerakan untuk menjatuhkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang setelah dakwaan itu mula bermain di media sosial sejak minggu lalu.
Walaupun masih tiada bukti konkrit dikemukakan buat masa ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu bahawa semua khabar angin itu tidak betul.
“Maaf, tak ada isu pun. Cerita tak betul,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut oleh Malaysiakini semalam.
Setakat ini, ketika ditanya media, pemimpin PAS menafikan gerakan itu. Mereka termasuk Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan anggota jawatankuasa kerjanya Nasrudin Hassan.
Pesuruhjaya PAS dari empat negeri – Terengganu, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan – turut menafikan dakwaan sama.
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Badzli Bakar antaranya menyifatkan dakwaan itu sebagai “perbuatan kawan-kawan yang nakal” manakala pesuruhjayanya Rafaie Mustapha mendakwa ia “mainan musuh”.
Spekulasi dan penafian-penafian itu, dilaporkan oleh harian berbahasa Melayu, Sinar Harian serta beredar di media sosial ketika Hadi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana sesak nafas pada 16 Februari lalu.
Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan hala tuju PAS untuk memilih sama ada bersama Umno atau Bersatu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Cabar dedahkan rakaman
PAS kini menjadi sekutu kepada kedua-dua gabungan yang berbeza iaitu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Dilema itu muncul selepas Umno dilihat mungkin membawa haluan tanpa Bersatu dalam PRU ke-15.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan terdapat khabar angin yang memberi gambaran wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Hadi membabitkan pimpinan parti itu sendiri. Hadi adalah presiden paling lama dalam sejarah PAS dan mengetuai parti itu sejak 2002.
Akhbar itu juga menyebut ada dakwaan wujud rakaman audio perbualan di antara Hashim dengan dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali berkait isu berkenaan.
Ia dikatakan merakamkan perasaan tidak puas hati Mohd Khairuddin terhadap Hadi dan Hashim didakwa bersetuju dengan apa yang diperkatakan menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu.
Hashim bagaimanapun menafikan perkara itu dan mencabar rakaman itu didedahkan, jika benar ada.
“Audio apa yang dimaksudkan? Tidak ada audio seperti didakwa, saya nafikan apa yang disebarkan itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Sementara itu, tulisan pojok oleh Awang Paku Serpih di Sinar Harian pula mengingatkan bahawa air tenang jangan disangka tiada buaya.
“Rupanya air tenang jangan disangka tiada buaya. Dalam cawan pun air boleh berkocak.
“Kata orang kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang. Jikalau tak betul, masakan orang-orang besar PAS keluar kenyataan dan buat penafian,” kata penulis seperti disiarkan 20 Feb lalu.
Laga-lagakan kelompok parti
Sementara, beberapa wartawan Malaysiakini juga menerima rakaman suara daripada pihak tidak dikenali yang menghentam Khairuddin yang didakwa mempunyai peranan dalam gerakan itu.
Perkara ini juga masih tidak dapat disahkan buat masa ini.
Malaysiakini telah cuba menghubungi Mohd Khairuddin yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus sejak minggu lalu dan masih menunggu maklum balas berkaitan dakwaan-dakwaan terhadapnya.
Dalam perkembangan sama bekas Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik, dalam hantaran di Facebook memberi peringatan supaya PAS berwaspada dengan tindakan musuh.
Dengan memetik isu perpecahan yang terjadi pada 2015, Mokhtar berkata selepas gagal memecahkan MN dan PN, musuh akan pecahkan Umno, Bersatu dan PAS dari dalam.
“Apabila masing-masing dah pecah, bergabunglah macam mana pun tidak akan kuat lagi.
“Kepimpinan PAS di semua peringkat jangan tertelan pil khas yang dibuat oleh musuh itu. Ambil iktibar peristiwa 2015.
“Mereka laga-lagakan kelompok profesional dengan kelompok ulama. Walhal kelompok itu tidak ada pun. Kerana ghairah dengan janji-janji DAP mereka sanggup tinggalkan presiden.
“Tapi nak tinggal mentah-mentah begitu tak tergamak dan takut orang nampak. Lalu dicipta ada kumpulan dalam PAS yang mahu langgar presiden.
“Akhirnya yang dituduh nak langgar presiden itulah yang berdiri teguh mempertahankan presiden, manakala yang asalnya nampak nak bentengi presiden itu pula yang langgar presiden sampai hari ini,” katanya yang dilihat menyentuh isu berkenaan seawal 17 Feb lalu.