Dakwaan disuap untuk lepaskan kes dadah anak taikun, Thomas akhirnya buka mulut dedah perkara sebenar

 

Dakwaan disuap untuk lepaskan kes dadah anak taikun, Thomas akhirnya buka mulut dedah perkara sebenar


Bekas peguam negara Tommy Thomas menepis dakwaan bahawa dia bersikap korup semasa mengendalikan kes jenayah ke atas anak lelaki ahli perniagaan terkenal, Vincent Tan.

Dakwaan itu dibuat di akaun Twitter Edisi Khas yang tidak dikenali pengendalinya.

Dalam ciapannya, Edisi Khas mendakwa salah seorang anak lelaki Tan ditahan atas kesalahan dadah pada 2019 tetapi didakwa mereka sudah dilepaskan oleh Thomas.

Dalam satu kenyataan hari ini,Thomas berkata bahawa selepas anak lelaki Tan didakwa, peguam-peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut Thomas, menerima permohonan bertulis untuk mempertimbang semula pertuduhan adalah “kejadian biasa” di AGC.

“Surat-surat ini dibawa ke pengetahuan saya untuk diputuskan.

“Setelah mengkaji representasi dan kertas penyiasatan, menyemak semula peruntukan undang-undang berkaitan dan berbincang dengan pegawai kes (semua timbalan pendakwa raya), saya ingat yang saya mengurangkan pertuduhan,” katanya.

Tambah Thomas, memandangkan dia tidak mempunyai akses kepada sebarang dokumen dan fail yang diselia oleh pihak yang menyediakan kertas siasatan, dia tidak lagi berupaya mengemukakan sebarang perincian lanjut.

Pun begitu, tegasnya, dia tidak pernah bersikap korup mahupun menerima rasuah daripada Tan atau sesiapa sahaja semasa menjawat jawatan peguam negara.

Tambahnya, dia tidak pun mengenali Tan sebelum menjadi peguam negara, mahupun mewakili Tan atau kepentingan perniagaannya.

“Kejinya (dakwaan) dan masa serangan ini (dibuat) ke atas integriti saya adalah berhubung kait dengan perbicaraan Roger Ng yang baru berlangsung di New York, membabitkan penyalahgunaan wang milik Malaysia

“Ahli politik dan personaliti negara kita akan ditampilkan apabila keterangan dikemukakan semasa perbicaraan, yang telah mendapat liputan media seluruh dunia.

“Di sebalik ini, saya merupakan sasaran mudah untuk mengalih perhatian,” katanya.

Difahamkan, anak lelaki Tan dijatuhkan hukuman pada 10 Feb 2020 oleh seorang majistret di Kuala Lumpur.

Pada masa itu, Malaysiakini sudah cuba untuk mendapatkan kertas pertuduhan daripada timbalan pendakwa raya, namun permintaan itu ditolak.


No comments: