Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam
supaya meraikan Aidiladha dengan menghayati sepenuhnya makna pengorbanan.
Beliau memahami bagaimana umat Islam meraikan Aidiladha dalam
norma baru yang serba terbatas demi kepentingan dan keselamatan semua.
"Kita mengimbau semula peristiwa bersejarah tatkala Nabi
Ibrahim diuji dengan perintah mengorbankan anak sulungnya, Nabi Ismail atas
nama keyakinan.
"Perintah ini pastinya tidak mudah untuk dilaksanakan oleh
sang ayah dan juga sang anak, namun atas dasar keyakinan kepada rencana Tuhan,
detik-detik getir saat bilah pisau hampir mengenai tengkuk anakandanya
diharungi dengan selamat.
"Allah mendatangkan penyelesaian, dan Nabi Ismail terselamat.
Mereka berdua lulus.
"Sikap ini memerlukan tekad yang ampuh sebagai syarat
menempuhi badai yang kuat menghempas," katanya dalam perutusan Aidiladha.
Pada masa sama, Anwar menyifatkan bahawa ibadah haji melatih umat
untuk bersikap cekal dan sederhana, di samping meraikan kesamarataan dan
kepelbagaian.
"Berangkatnya umat ke tanah suci berpakaian serba putih
menandakan kesediaan mencorak peribadi baru yang tidak tunduk pada keangkuhan
dan kemewahan yang melampau.
"Renungkan semula wasiat Rasulullah tatkala baginda menatap
wajah ribuan generasi awal Muslimin di padang Arafah dalam khutbah haji
terakhirnya yang menyeru pada nilai-nilai keadilan dan kesejagatan.
"Sungguh yang demikian merupakan pengajaran abadi buat
seluruh umat manusia sebagai panduan dalam perjuangan agar tidak terjerumus ke
lembah kezaliman.
"Justeru raikanlah Aidiladha ini dengan penuh penghayatan
terhadap makna hakikinya. Letakkanlah keyakinan kepada masa depan perjuangan
kita, merdekakan diri daripada diperhambakan oleh harta, pangkat dan kuasa.
Bersegeralah membantu rakyat yang susah dengan penuh kerendahan
jiwa. Insya-Allah, kemenangan pasti akan tiba," katanya.