SELEPAS TUN MAHATHIR,SIAPA PULA PM?

 Tun Mahathir Mohamad telah sah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong juga sudah menerima perletakan jawatan beliau itu.
Bagaimanapun, Yang Dipertuan Agong berkenan melantik Tun Mahathir sebagai sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu perlantikan Perdana Menteri yang baru selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Selaku Perdana Menteri interim, tugas Tun Mahathir adalah menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli kabinet baru dilantik.
Difahamkan, kedudukan Perdana Menteri interim adalah selama 10 hari dan bagi tempoh itu Yang Dipertuan Agong mempunyai masa yang cukup selesa bagi menentukan pihak mana yang mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Namun, Pejabat Peguam Negara dalam kenyataannya menberitahu, tiada tempoh masa tertentu bagi Perdana Menteri interim dibenarkan berfungsi.
Begitu pun, sesuai dengan namanya interim, kedudukan Perdana Menteri interim adalah sementara waktu saja sebelum Perdana Menteri sebenar dilantik.
Dalam hal ini, jika Anwar Ibrahim dapat meyakinkan baginda bahawa beliau telah memiliki sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen, maka Ahli Parlimen Port Dickson itulah yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru.
Dan sekiranya pihak lain pula yang ada sokongan majoriti sekurang-kurangnya 112 itu, maka pemimpin daripada kumpulan tersebutlah yang akan menjadi Perdana Menteri.
Perkembangan ini tentu saja sesuatu yang menarik kerana dalam tempoh 10 hari akan datang, perebutan mendapatkan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen dengan sendirinya menjadi semakin rancak.
Tawaran dan janji jawatan, selain tidak mustahil habuan dalam bentuk wang ringgit akan menjadi mainan beserta tawar-menawar seumpama pasar menjual barang dagangan.
Jamuan makan dan perjumpaan di hotel-hotel juga akan turut meriah bagi tujuan yang sama.
Tetapi, apa yang diharapkan selepas perlantikan Perdana Menteri baru itu nanti, keadaan negara kembali stabil seperti sediakala dengan kerajaan dapat berfungsi secara baik memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat jelata.
Pergolakan politik yang bersilih ganti berlaku dalam PH sebenarnya sudah cukup merimaskan rakyat, terutama berkaitan ketidak-tentuan peralian kuasa, janji manifesto yang tidak ditunaikan serta dolak-dalik Tun Mahathir berhubung serah kuasa kepada pengganti yang sudah dipersetujui iaitu Anwar.
Kalaulah sejak awal tarikh peralihan kuasa dapat ditetapkan, pergolakan politik dalam PH ini tidaklah sampai ke peringkat di mana Tun Mahathir terpaksa mengambil keputusan meletakkan jawatannya lebih cepat daripada yang sepatutnya dan kemudian melepaskan jawatan juga sebagai Pengerusi Bersatu.
Bagaimanapun, keputusan Tun Mahathir meletakkan jawatan itu adalah keputusan terbaik bagi dirinya sebelum terkait dengan lebih banyak isu yang menjejaskan namanya sendiri.
Semoga dengan perlantikan Perdana Menteri baru nanti, negara akan terus aman makmur dan rakyat dilimpahi barakah yang berpanjangan dalam kehidupan. (ShahbudinHusin 24/02/2020)