PELUANG ANWAR CERAH, KU LI PESAING TERDEKAT



Apabila perletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad telah diterima oleh Yang Dipertuan Agong dan kemudian diperkenan untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu perlantikan Perdana Menteri baru dibuat, ia adalah gambaran yang jelas tentang pengakhiran karier buat beliau.

Dalam proses Yang Dipertuan Agong menembual kesemua 222 Ahli Parlimen bagi mengetahui siapa yang mereka mahu pilih untuk jadi Perdana Menteri yang baru, nama Tun Mahathir sepatutnya tidak boleh dipilih lagi.

Beliau sudah meletakkan jawatan dan perletakan jawatannya telah diterima, jadi mengapa mesti dipilih semula?

Isyarat penerimaan perletakan jawatannya oleh Yang Dipertuan Agong adalah tidak diragui iaitu Tun Mahathir sendiri tidak mahu lagi menjadi Perdana Menteri.

Jika Yang Dipertuan Agong mahu Tun Mahathir terus jadi Perdana Menteri, surat perletakan jawatannya tentu tidak diterima atau baginda pertimbangkan terlebih dahulu sehingga baginda mendapatkan maklumbalas daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Perlantikannya sebagai Perdana Menteri interim adalah semata-mata untuk suatu tempoh yang singkat sementara menunggu Yang Dipertuan Agong mendapatkan maklumbalas siapa yang lebih layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri melalui temubual yang akan dilakukan terhadap kesemua 222 Ahli Parlimen.

Seolah-olah suatu penghinaan kepada kedudukan Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara atau baginda seperti boleh “dipermain-mainkan” jika setelah perletakan jawatan Tun Mahathir diterima oleh baginda, tetapi tiba-tiba orang yang sama dipilih untuk datang semula mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan baginda.

Atas premis itu, diberitakan calon-calon Perdana Menteri yang tersenarai untuk dipilih adalah Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah dan Hishammuddin Hussein.

Nama Tun Mahathir tidak lagi dipilih atau dipertimbangkan semula kerana beliau sendiri sudah secara rela hati meletakkan jawatan dan perletakannya pula telah pun diterima dengan senang hati oleh Yang Dipertuan Agong.

Zahid Hamidi dan Najib Razak dikatakan tidak termasuk dalam senarai kerana sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah dan kes kedua-duanya sedang berjalan sekarang ini.

Tentulah tidak munasabah memilh mereka yang sedang berulang-alik ke mahkamah untuk dijadikan sebagai Perdana Menteri.

Hadi Awang pula memang tidak memasukkan dirinya dalam senarai pilihan, sama ada kerana memang tidak mahu atau beliau sedar dirinya tidak mampu mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam perkiraan tersebut, Anwar menjadi calon pilihan kerana dengan sokongan PKR, DAP dan Amanah saja beliau sudah sekitar 92 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Jika Anwar berjaya mendapat sokongan daripada GPS di Sarawak, sedikit di Sabah dan daripada kalangan Ahli Parlimen UMNO serta Bersatu, beliau dijangka mampu melepasi jumlah 112 yang diperlukan untuk menjadikannya Perdana Menteri.

Dan selepas berjaya menubuhkan kerajaan nanti, Anwar dipercayai akan terus mendapat sokongan pihak-pihak lain, terutama di Sabah Sarawak yang selalunya berpegang kepada prinsip menyokong “government of the day”

Pencabar terdekat Anwar adalah Tengku Razaleigh yang dipercayai akan mendapat sokongan daripada UMNO, Pas, GPS dan Warisan.

Begitu juga dengan Hishammuddin, beliau turut mampu memberikan cabaran kerana disokong oleh Ahli Parlimen UMNO, kumpulan 11 Azmin Ali, sedikit daripada Bersatu dan juga GPS.

Tetapi Hishammuddin dipercayai tidak mendapat sokongan daripada Pas kerana parti itu tidak berapa mesra dengannya.

Muhyddin hampir pasti akan mendapat undi paling sedikit kerana selain Bersatu sendiri tidak solid menyokongnya, undi daripada parti-parti lain yang mungkin mampu diraihnya juga terlalu minima.

Apa pun, siapa juga yang lebih banyak diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri oleh kesemua 222 Ahli Parlimen yang akan ditemubual sendiri oleh Yang Dipertuan Agong, diharap-harapkan jumlahnya biarlah melebihi 112 undi.

Jika tidak ada yang mendapat sekurang-kurangnya 112 undi, bermakna tiada sesiapa yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dan ia mungkin membuka ruang kepada berlakunya “snap election” atau pilihanraya mengejut dalam waktu terdekat ini. (ShahbudinHusin 25/02/2020)