Skandal 1MDB: Kerabat diraja asing, anak tiri Najib antara 20 nama didedah SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan nama 20 individu yang dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut dalam rakaman perbualan berkaitan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas anak syarikatnya, SRC International (SRC).
Senarai itu termasuk beberapa pemimpin asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan berdurasi keseluruhan 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media, di sini. SPRM yakin rakaman itu adalah tulen.
Perbualan yang dirakam membabitkan lapan individu, iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Yang lain adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukri Salleh; seorang lagi bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin; Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak.
Nama yang disebut dalam perbualan yang dirakam adalah seorang lagi bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas Pengarah Kewangan IPSB, Datuk Abdul Aziz Ismail.
Selain itu, bekas Pengarah SRC International (SRC), Datuk Suboh Md Yasin; bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil; bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukri Salleh dan dua bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
Yang turut disebut adalah anak tiri Najib, Riza Aziz dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun (Azwan Bro).
Individu asing pula adalah kerabat diraja dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan; Khalifa bin Zayed bin Sultan Al Nahyan dan Sheikh Mansur Mansour bin Zayed bin Sultan bin Zayed bin Khalifa Al Nahyan.