Pelabur alu-alukan PH bincang tarikh peralihan kuasa
Kekaburan tarikh peralihan kuasa antara perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dijangka akan ditangani oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) disambut baik kalangan pelabur
Pemerhati ekonomi, Jameson Tan berpendapat tarikh yang jelas akan mengembalikan minat pelabur asing untuk menanam modal berikutan pelbagai spekulasi ketidakstabilan politik akan berlaku sekiranya tiada kesepakatan di dalam PH berhubung perlantikan ketua kerajaan.
Sehubungan itu, Jameson menyambut baik penegasan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim baru-baru ini yang membuat kenyataan tarikh peralihan kuasa akan dibincangkan secara tertib.
“Kenyataan tersebut amat dialu-alukan golongan usahawan sebab sekian lama kami telah menunggu berita yang akan memberi satu kepastian untuk isu tarikh ini.
“Sudah lama Kerajaan PH membiarkan isu ini menjadi buah mulut rakyat dan kami usahawan yang masih berminat melaburkan modal di sini inginkan peralihan kuasa dilaksanakan dengan sempurna.
“Kita tahu bahawa semua pihak dalam koalisi PH sudah mencapai persetujuan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjawat jawatan Perdana Menteri selama 2 tahun dan selepas itu jawatan tersebut akan diserahkan kepada Anwar Ibrahim.
“Ini bererti pada 10 Mei 2020 Anwar akan mengambil-alih sebagai PM Malaysia. Justeru itu, semua pihak wajar berpegang kepada perjanjian tersebut,” katanya.
Tambah Jameson, sebaik sahaja masalah peralihan itu selesai pelabur asing dijangka akan lebih banyak memasuki pasaran modal Malaysia berikutan kerajaan lebh stabil dan tiada lagi percubaan mewujudkan kerajaan pintu belakang bagi menyekat Anwar menjadi PM ke 8.
“Ada ramai pelabur asing yang akan melabur di Malaysia jika Anwar menjadi PM. Itulah yang sedang ditunggu-tunggu oleh kami. Dan ini bermakna Kerajaan PH tidak boleh lagi berdolak-dalik atau berlengah-lengah untuk membuat pengumuman khas.
“Kalau peralihan kuasa tidak dilaksanakan dalam bulan Mei 2020, maka tidak hairanlah jika pelabur asing tidak akan datang ke Malaysia kerana situasi akan dibelenggu dengan ketidakpastian dalam iklim politik dan ekonomi,” kata Jameson lagi.