'Mentaliti terkepung', manipulasi agama punca kekalahan di Kemaman


 Kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semalam biar pun telah diduga tetapi tidaklah ke tahap Pas memperolehi majoriti sebesar 37,000 undi.



Biar pun terdapat hujah Pas mengekalkan undi pada Pilihan Raya Umum ke 15 tetapi pengundi Pakatan Harapan dan BN yang kurang keluar membuang undi, namun bagi Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yop, kekalahan PRK lebih kepada kejayaan strategi Pas memanipulasi emosi pengundi dan menggunakan hujah agama sempit.



"Modal (kempen) masih sama, sokong Pas masuk syurga. Ditambah isu konsert LGBT, konsert Coldplay. Pas juga berjaya tunjuk mereka lebih sokong Palestin daripada orang lain.



"Orang Terengganu ini sentimen kepada agama kuat. Antara kelemahan orang Terengganu kita tengok ialah mudah dimanipulasi tentang isu agama. Sangat sensitif bab agama. Pas berjaya dalam hal ini," katanya.



Menurut beliau, Pas juga mengelirukan pengundi dengan naratif kononnya Kerajaan Perpaduan tidak bersungguh sungguh membantu orang Islam Palestin.

Description: https://static.wixstatic.com/media/4449e2_361b70c4a6e74948a5241761c8eb981f~mv2.jpeg/v1/fill/w_360,h_240,al_c,q_80,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/4449e2_361b70c4a6e74948a5241761c8eb981f~mv2.jpeg

Ahmad Nahdir Yop



Sedangkan pada era Pas-PN memerintah (2020 - 2022) tiada pun agenda untuk Palestin yang diperjuangkan.



"Pencerah Pas bawa naratif Parlimen Malaysia gagal bawa isu Palestin. Orang termakan. Ini bukan masalah penerangan lagi, bukan tak sampai, tetapi orang anggap apa kita beritahu itu bohong, yang sebelah sana betul



"Ini di luar (gerak kerja) penerangan. Kita di pihak parti buat (penerangan), kerajaan buat tetapi ia berpunca daripada fitnah atas agama dan bangsa.



"Orang Melayu di sini termakan semua itu," katanya.



Perkara yang lebih membimbangkan, kata Ahmad Nadhir ialah 'mentaliti terkepung' yang disumbat ke pemikiran orang Melayu dan menganggap orang agama lebih suci atau betul daripada masyarakat biasa.



"Di sekolah agama terutama di Terengganu dan Kelantan ada mentaliti terkepung. Kamu adalah 'insan terpilih' yang bersih, suci, holier-than-thou, orang luar dari bidang agama lakukan maksiat dan sebagainya.



"Orang Pas kebanyakannya lulusan sekolah agama dan dia rasa diri sebagai utusan Tuhan untuk membersihkan. Itu ditanam dalam doktrin sekolah agama," katanya.



Sikap rakyat yang kurang mahu memastikan kebenaran juga, kata Ahmad Nadhir, menyukarkan penerangan dan pemahaman sesuatu isu terutama yang mempunyai kaitan dengan sentimen agama.



"Mereka (orang Terengganu) merasakan apa yang Pas bawa itu agama (yang benar). Yang lain daripada Pas bawa, bukan ajaran Islam (sebenar)," katanya lagi.



Dalam PRK Kemaman semalam calon Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengalahkan calon BN Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti besar.



Kekalahan calon BN dianggap lebih buruk daripada PRU 2022 terutama apabila dicampurkan jumlah undi BN dan PH pada pilihanraya itu.

No comments: