Oleh : Noraini Nordin
ANALISIS: Kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam,
bahkan dengan majoriti lebih besar berbanding PRU15 lalu, secara umumnya
membawa mesej yang pelbagai kepada masa depan politik Malaysia.
Bagaimanapun, kemenangan Pas melalui Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar,
kanan), Menteri Besar Terenggganu sebagai calon, dengan majoriti 37,220
undi berbanding 27,179 undi diperolehi calon Pas pada PRU15 lalu, mesej
utamanya ialah pukulan hebat kepada Bersatu, salah satu komponen yang selama
ini menggambarkan diri mereka sebagai “abang besar” dalam PN.
Dalam PRK Kemaman ini, Pas bukan sahaja menang dengan majoriti
lebih besar melalui calonnya yang dilihat lebih diterima dan disenangi, bahkan
bersama gambaran bahawa Ahmad Samsuri adalah calon Perdana Menteri selepas ini.
Ini bermakna, majoriti besar yang diraih oleh Naib Presiden Pas
itu bermakna suatu 'penerimaan' penyokongnya kepada keinginan untuk melihat
beliau menjadi Perdana Menteri selepas suatu ketika nanti.
Melihat kepada keterujaan penaksub yang menjaja secara terbuka
Ahmad Samsuri sebagai bakal PM apakah nasib Muhyiddin Yassin?
Dalam keadaan ini, di mana kedudukan Muhyiddin yang diketahui umum
masih mengidam untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, malah telah
membuat Pusingan U dengan ingin mengekalkan lagi jawatan sebagai Presiden
Bersatu pada pemilihan tahun hadapan.
Noraini Nordin
Kalau bukan untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi, untuk apa
beliau mahu kekal memimpin Bersatu?
Tetapi dengan adanya Ahmad Samsuri ini, sediakah Muhyiddin
mengundur diri untuk memberi laluan?
Begitu juga dengan Hamzah Zainuddin, Ketua Pembangkang sekarang
yang turut dilihat sebagai calon Perdana Menteri kedua bagi blok pembangkang
selepas Muhyiddin, apakah beliau juga sedia memberi laluan kepada Ahmad
Samsuri?
Dengan kedudukan Pas yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen
terbesar dalam PN iaitu 43 kerusi, logiknya memang wajar parti itu
mempertaruhkan calon Perdana Menterinya dalam PRU16 akan datang dan bukan lagi
sebagai penumpang.
Berbanding Bersatu yang sebelum ini mempunyai 31 Ahli Parlimen,
tetapi setelah lima daripadanya telah mengalihkan sokongan kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlahnya kini makin berkurangan dengan
hanya tinggal 26 sahaja.
Sementara Bersatu makin mengecil, Pas sebaliknya seperti mendapat
laba besar dengan menonjolkan Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri
melalui PRK Kemaman semalam.
Berdasarkan kenyataan terbaru Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin
Hasan yang menyebut, parti itu kini sedia memikul tanggungjawab lebih besar di
peringkat nasional berikutan kemenangan Ahmad Samsuri, ini adalah petanda
jelas, sekaligus suatu isyarat buruk buat Bersatu, Muhyiddin dan juga Hamzah.
Nampaknya Pas tidak mahu menoleh ke belakang lagi, sebaliknya
ingin terus mara dengan agendanya, sambil berharap agar Muhyiddin dan Hamzah
tidak sukar memahaminya.
Melihat semua perkembangan ini, Bersatu memang tiada pilihan lain
kecuali terpaksa akur untuk menyerahkan baton calon Perdana Menteri kepada Pas
dalam PRU16 akan datang.
Lagi pun, apa pilihan yang Bersatu ada, ia adalah parti yang tiada
akar umbi, malah jumlah cawangan di bahagian-bahagian juga amat terbatas
sekali.
Semua kemenangan calon Bersatu pada PRU15 lalu, terutamanya dari
segi kempen dan penyediaan jentera parti, adalah dengan menumpang dan melalui
sumbangan kekuatan yang dimiliki Pas.
Bermula di Kemaman dan dijangka berterusan sehingga PRU16 akan
datang, Pas diramal akan terus ke depan dengan agenda untuk memimpin negara,
sementara Bersatu secara perlahan-lahan bakal dimendungi awan gerhana.