LEKEHNYA JKOM MEMPERTAHANKAN KERAJAAN MADANI


APA PERANAN J-KOM - MENANGKIS KHABAR ANGIN ATAU MENGIYAKAN KHABAR ANGIN?


J-Kom merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang paling diperkatakan ramai sejak terbentuknya kerajaan perpaduan lebih setahun yang lalu.


Bermula dengan perlantikan Prof Dr Mohd Agus Yusof sebagai Ketua Pengarah, kegagalannya memimpin agensi tersebut dan sehinggalah kepada munculnya “video Wahab” yang memaksa beliau berundur secara mengejut, nama J-Kom hampir tidak pernah tertanggal daripada sebutan kebanyakan mereka yang gemar mengikuti perkembangan semasa.


Kini, sementara ramai masih tertunggu-tunggu siapa bakal Ketua Pengarah J-Kom yang baru, nama agensi tersebut sekali lagi terpacul menjadi sebutan.


Kali ini berikutan Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusof atau Tok Abah membuat kenyataan dengan memperincikan apa yang dinamakan sebagai Langkah Dubai, suatu gerakan yang kononnya diusahakan untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim.


Bagi yang tidak tahu apa-apa, barangkali ada yang teruja dengan apa yang disebut Tok Abah itu, tambahan lagi beberapa media serta portal turut menjadikannya sebagai berita utama.


Tetapi, selain beberapa pimpinan PN sendiri menyifatkan kenyataan Tok Abah itu sebagai mengarut dan tidak berasas, kawan-kawan pimpinan dalam gabungan tersebut dan penggerak media sosial mereka hanya mampu ketawa saja membacanya.


Ini berikutan, mereka tahu Langkah Dubai itu adalah sesuatu yang tidak wujud, palsu dan hanya merupakan khayalan yang digembar-gemburkan oleh dua tiga orang TikTokers yang dahulunya makan di atas tapak tangan Najib Razak.


Setelah Najib jatuh, mereka jadi tidak bertuan dan hanya kebelakangan ini terlihat begitu kuat mahu menjatuhkan Anwar dengan tidak habis-habis menjaja cerita kerajaan akan tumbang.


Hakikat yang nyata, di samping kerajaan masih tidak tumbang-tumbang, sebaliknya jumlah sokongan Ahli Parlimen PN yang makin berkurangan dengan setakat ini sudah lima orang mengumumkan sokongan kepada Anwar.


Dalam keadaan sebegitu pun, TikTokers berkenaan masih lagi seronok menjaja cerita kerajaan akan tumbang – kononnya minggu depan, bulan depan dan macam-macam lagi tarikh ramalan.


Yang peliknya di sini, sementara mereka dalam PN sendiri tidak percaya dan tidak pakai cerita khabar angin adanya sebarang gerakan atau Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan lantaran memang tiada apa-apa gerakan sedang diusahakan ketika ini, tup-tup J-Kom pula yang seolah-olah seronok mempercayainya.


Ehh…apa peranan J-Kom ini sebenarnya – menangkis khabar angin atau mengiyakan khabar angin?


Apakah J-Kom yang ketika ini ketiadaan Ketua Pengarah, tetapi hanya ada Tok Abah selaku pimpinan tertingginya selaku Timbalan Ketua Pengarah, suka melihat kerajaan tidak stabil dan orangramai bercakap mengenai Anwar bakal dijatuhkan?


Masih tidak percayalah J-Kom dengan sokongan kukuh melebihi dua pertiga yang sedang dimiliki Anwar?


Kenapa Tok Abah tidak berusaha mencipta naratif untuk menangkis cerita palsu ciptaan dua tiga orang TikTokers berkenaan demi memperlihatkan Anwar dipertahankan, sekaligus untuk membina persepsi yang lebih baik berkenaan keutuhan kerajaan perpaduan?


Apakah dalam hal ini J-Kom masih tidak faham fungsi dan peranan mereka yang sebenar?


Kalau dengan cerita khayalan yang dicipta oleh dua tiga TikTokers tak bertuan pun J-Kom sudah mudah terbuai dan hilang arah tuju dalam fungsinya, bagaimana mereka mampu berperanan dengan lebih berkesan menangani pelbagai serangan, seterusnya untuk membantu Anwar memenangi PRU16 akan datang?


Nampaknya ada tugas berat menanti Fahmi Fadzil  selepas ini - kena luangkan lebih masa sedikit tengok-tengokkan J-Kom agar peranannya tidak terbazir sebagaimana tempoh setahun lalu yang berlalu dengan sia-sia. – ShahbudinHusin 31/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/31/apa-kerja-j-kom-menangkis-khabar-angin-atau-mengiyakan-khabar-angin.html