Media kerajaan bertaggungjawab kekang faham ekstremis agama
Kerajaan Persekutuan dan media arus perdana terutamanya yang dikawal kerajaan perlu mengekang politik ekstrem agama yang kini dimainkan oleh pembangkang.
Menurut mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, dakyah yang ditanam ke dalam pemikiran orang Melayu di negeri negeri Utara dan Pantai Timur berpotensi mengkucar kacirkan negara sekiranya tidak dikawal dan diberi penerangan yang betul oleh pemerintah.
“Media masa, Kementerian perlu segera menyedari perkara ini. Tindakan perlu dibuat untuk menyelamatkan Islam. Umat perlu dipandu dalam keadaan yang betul. Bukan seperti sekarang, menyeleweng terlalu jauh
“Kementerian Multimedia mesti bertindak secara khusus kerana penyelewengan agama ini keterlaluan dan akan bertambah ekstrem apabila mereka (pembangkang) mempersiapkan pilihan raya peringkat negeri,” katanya.
Mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu itu khuatir sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam 4 – 5 bulan akan datang mungkin menjadi tapak subur propaganda ekstrem PN, khususnya Pas.
“Sesuatu wajib dibuat menyelamatkan umat Islam terutama di Pantai Timur dan juga perkembangan umah di negara ini supaya tidak jauh terpesong dan dikotorkan dengan kepentingan politik PRN yang sedang mereka rangka.
“Cara Pas bawa politik hingga mengkafirkan orang amat ekstrem. Di sokong dengan gabungan Muhyididn Yassin bawa naratif sama.
“Walaupun dikatakan sebab akan ada PRN tidak lama lagi, tetapi kalau dibiarkan, (cara kempen) ekstrem akan lebih buruk daripada sekarang,” katanya.
Sehubungan itu Azan memberi peringatan, jika kerajaan gagal bertindak segera maka generasi masa hadapan akan mewarisi pemikiran sempit dengan momokan agama dan Malaysia tidak mungkin menjadi negara maju andainya pemikiran seumpama itu menguasai majoriti orang Melayu.
“Kita tidak boleh biarkan generasi muda berkembang dengan cara memegang kepercayaan ekstrem.
“Malaysia ini pelbagai kaum, dan tiada negara yang memegang (ideologi) ekstremis agama boleh membangun dengan baik
“Kita tengok pengalaman di Timur Tengah, kalau esktremis agama ia akan menyebakan perang, huru hara, negara tak stabil, dan ekonomi jatuh,” katanya lagi.
Untuk rekod, PN berjaya memenangi 73 kerusi parlimen pada PRU ke 15 lalu dengan memainkan propaganda kononnya orang Melayu-Islam terancam seiranya DAP berkuasa di peringkat Persekutuan.