Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan awal iaitu pada
Januari 2023 berbanding Mac pada tahun ini.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan
tunai dilaksanakan kerajaan sebelum ini diteruskan dalam pentadbirannya, dengan
bantuan fasa 1 akan dikreditkan kepada penerima pada Januari ini.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Rang
Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan usul
anggaran perbelanjaan pembangunan sementara 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) berkata, bantuan fasa 1 itu memanfaatkan
hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan RM300
bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.
“Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan awal iaitu pada
Januari 2023 berbanding Mac pada tahun ini. Saya berharap, penyaluran awal ini
membantu meringankan beban ditanggung rakyat pada waktu ini,” katanya.
Antara bantuan lain turut diumumkan bagi 2023 adalah:
·
Bantuan awal persekolah RM150 tanpa mengambil kira had
pendapatan isi rumah yang akan disalurkan pada Januari.
·
Tawaran 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak melalui program
MySTEP
·
Bantuan musim tengkujuh pada November dan Disember berjumlah
RM600 kepada pekebun kecil getah. Kerajaan juga bercadang salur bantuan
tambahan RM200 juta kepada pekebun kecil getah bagi Januari.
·
Kenaikan gaji tahunan tambahan khas sebanyak RM100 kepada
penjawat awam Gred 11 hingga 56.
·
Bantuan khas kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan
ke bawah sebanyak RM700 dan pesara RM350.
·
RM400 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
sebagai kesiapsiagaan banjir.
Terdahulu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023
dan RUU Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang
dibentangkan menteri kewangan.
Bajet mini itu melibatkan tujuan perbelanjaan perkhidmatan,
membabitkan wang bernilai RM107.7 bilion.