Tan
Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan UMNO supaya tidak mudah lupa diri dan kembali
menjadi angkuh apabila mahu membuat keputusan sesuka hati tanpa berbincang
dengan rakan parti komponen kerajaan lain.
Presiden
Bersatu itu berkata sedemikian selepas terdapat desakan dalam UMNO yang mahu
pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan segera dan seakan-akan parti dipimpin
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan
tarikh pilihan raya diadakan tanpa berbincang dengan parti lain dalam kerajaan.
“Kita
dengar di luar, kata PRU nak sampai (sudah dekat) tapi sebenarnya bukan Umno
(sahaja) yang tentukan.
“PN
akan duduk bincang (bersama) bila masa yang sesuai. Ini antara terma untuk
sokongan kita (terhadap Ismail),” katanya ketika ketika berucap dalam
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata malah Perdana Menteri (PM)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengakui kerajaan yang terbentuk sekarang
bukan kerana majoriti yang dimiliki UMNO semata-mata dan menasihati UMNO supaya
jangan mudah terlupa diri.
“Sebagaimana disebut Perdana Menteri (Ismail Sabri) sendiri,
dia kata UMNO kembali memegang tampuk kerajaan bukan parti itu ada jumlah
kerusi majoriti atau bukan kerana UMNO menang… kerana sokongan diberikan
parti-parti dalam PN (Perikatan Nasional) dan Ahli Parlimen Bebas yang
menyokong kita.
“Jadi saya nak pesan sesetengah pihak dalam Umno ni, bukan
semualah… hormatlah kita ni sikit, ‘there’s no big brother’ (kita) sama saja…
jangan mudah lupa diri,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,600
perwakilan.
“Kena cakap lembut saja, takut salah faham, bukan kerana
takut…,” katanya lagi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN itu juga berkata, walaupun
UMNO membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU015 yang
disifatkannya sebagai “menakjubkan”, parti di bawah gabungan itu tetap
memberikan sokongan kepada PM dari UMNO untuk menerajui negara sehingga
Parlimen dibubarkan.
“Kita berikan sokongan kepada Perdana Menteri dan kita
bersama beliau dalam kerajaan… Ya, saya tiada dalam kerajaan tetapi saya
Presiden parti yang menyokong kerajaan dan sokongan ini berdasarkan terma-terma
tertentu.
“Kita tandatangani perjanjian persefahaman yang mana ada
terma-terma yang perlu dipatuhi dan diikuti yang telah kita setuju bersama,”
katanya lagi.
Beliau juga berkata selagi terma-terma tersebut dipatuhi,
selagi itu jugalah sokongan akan diberikan kepada kerajaan Ismail Sabri.
“Kita tak dedahkan cuma kita bagi tajuk saja, dan selagi mana
terma-terma ini dipatuhi selagi itulah kita beri sokongan sehingga tiba masa
sesuai untuk diadakan PRU-15,” katanya.
Mengenai tempoh sesuai untuk diadakan PRU-15, mantan PM itu
berkata, perkara berkenaan berdasarkan budi bicara dan persetujuan semua parti
yang menyokong kerajaan, bukan mengikut keputusan satu parti saja.