Kerajaan wujud pasukan buru penyebar berita palsu
Putrajaya akan bertindak tegas ke atas penyebar berita palsu yang boleh mengganggu gugat keamanan negara dan keharmonian kaum.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, pihak berkuasa tidak akan lagi ‘berdiam diri’ setelah kebebasan diberikan disalahguna individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu termasuk mengenai wabak koronavirus serta fitnah lain sehingga mengganggu gugat keamanan negara.
“Kami memang mengalu-alukan rakyat guna media sosial untuk kritik kerajaan. Kritik kerajaan boleh. Tapi jangan fitnah dan sebar isu perkauman.
“Kebelakangan ini salah guna media sosial untuk sebarkan berita fitnah isu agama yang lebih melibatkan keresahan masyarakat.
“Kami tidak berdiam diri selepas ini. Polis dan AGC akan tubuhkan jawatankuasa kerja khas cari orang-orang (sebar berita palsu) ini sampai lubang cacing.
“Itu adalah titik permulaan mengapa kerajaan bertegas untuk memburu individu ini daripada terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith.
Hanipa sementara itu turut memberitahu penubuhan jawatankuasa kerja khas merangkumi polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memburu penyebar berita palsu.
Dalam pada itu, Eddin Syazlee berkata, sejak Januari lepas sehingga hari ini, sebanyak 62 kes membabitkan berita palsu telah disiasat.
Daripada jumlah itu, lapan kes telah didakwa melibatkan sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, katanya.