SESUAI KEBIMBANGAN NURUL IZZAH, ASPEK KOMUNIKASI ADALAH PERKARA NO 1 PERLU SEGERA DIROMBAK



NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini menyarankan kerajaan agar segera menambah baik komunikasi kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.


Katanya, perkara itu perlu dilakukan selain untuk mendepani serta melawan politik ekstremisme dan rasuah yang terus menyengat, ia juga perlu dalam usaha untuk melaksana agenda reformasi, memastikan ekonomi rakyat bertambah baik, mendekati dan menjiwai anak muda serta pengundi wanita.


“Saya menyertai korus desakan agar agensi komunikasi kerajaan diperkukuh supaya inisiatif, kejayaan dan usaha murni kerajaan perpaduan sampai terus kepada rakyat.


“Jangan lupa, pertarungan akan tiba lagi nanti – maka usaha memenangi hati dan mendengar denyut jantung rakyat harus berjalan terus,” katanya dalam catatan di Instagramnya.


Sebagaimana banyak pihak sudah bercakap bahawa antara punca keputusan tidak memberangsangkan dicapai PH/BN dalam PRN baru-baru adalah kelemahan komunikasi, penerangan dan penyampaian maklumat kepada rakyat, Nurul Izzah juga nampaknya sedar hakikat tersebut.


Seiring dengan saranan serta kesedaran Nurul Izzah itu, saya ingin berkongsi pengalaman yang tanpa sengaja saya dilalui sehari sebelum pengundian PRN baru-baru ini.


Ketika menghadiri sebuah jamuan di rumah seorang kenalan pada Jumaat malam, 11 Ogos lalu, sekumpulan orang antara enam atau tujuh orang yang duduk semeja dengan saya berbual-bual tentang pengundian yang akan berlangsung pada esok harinya.


Seorang daripada mereka berkata, harapannya ialah mahu melihat keputusan PRN itu nanti mampu menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.


Mereka yang lain yang mendengar kata-kata itu ternampak bersetuju dengan perkara itu dan mengangguk-angguk sambil menikmati makanan yang dihidangkan.


Saya kemudian menyampuk dengan mengatakan PRN ini hanya pilihan raya peringkat negeri dan tidak mampu menukar kedudukan kerajaan di peringkat pusat, biar apa sekali pun keputusannya.


Seorang yang lain pula berkata, masalah utama PH ialah mereka tidak ternampak berbuat apa-apa sejak lapan bulan memegang kuasa dan itulah sebabnya pertukaran kerajaan begitu diperlukan.


Ketika itu, saya tidak membalas panjang, cuma sekadar berkata, “banyak sebenarnya yang dilakukan kerajaan.”


Walaupun panjang lagi perbualan di meja makan selepas itu, tetapi kata-kata “PH tidak ternampak berbuat apa-apa sejak lapan bulan memegang kuasa” amat membekas dalam fikiran saya, diikuti pula sepanjang di meja makan itu, keghairahan mereka berbual untuk akhirnya melihat kerajaan perpaduan dijatuhkan begitu bersemarak sekali.


Sejak itu saya sering berfikir, kenapa masih ada yang sampai tidak nampak apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat sejak lapan bulan lalu?


Apakah kerana mereka memang sedia membenci PH atau Anwar, lalu menutup mata dan telinga kepada apa juga maklumat yang diterima?


Apa pun keadaannya, yang nyata, inilah satu petanda lemahnya komunikasi dan sistem penyampaian maklumat daripada kerajaan kepada rakyat.


Kalau maklumat sampai kepada mereka, tidak mungkin ada seseorang yang waras dan berakal tergamak untuk berkata, “PH tidak ternampak berbuat apa-apa” secara terbuka, walhal banyak sekali kebaikan di depan mata telah dilakukan oleh kerajaan perpaduan ini.


Sama ada mereka membenci PH, tidak menonton televisyen, tidak membaca akhbar atau tidak memiliki akaun media sosial, sepatutnya mesti ada ada kaedah bagaimana sesuatu maklumat dan kebaikan kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat.


Jika maklumat tentang tarikh puasa atau hari raya boleh sampai kepada rakyat tak kira walau di mana mereka berada, tidak ada sebab kebaikan kerajaan atau jawapan kepada fitnah-fitnah tidak boleh disampaikan.


Bukankah kerajaan ada pelbagai saluran media – daripada televisyen, radio, akhbar, portal berita, media sosial dan pelbagai lagi?


Selain itu, ada pula pelbagai jentera parti berkaitan komunikasi dan penerangan.


Di mana semua itu dalam membantu kerajaan?


Ringkas cerita, susulan serangan berpanjangan kepada kerajaan perpaduan sejak lapan bulan lalu, diikuti keputusan PRN enam negeri baru-baru ini, jika ia merupakan “wake-up call” agar segera bangun dan berlari untuk bekerja, maka perubahan dan rombakan yang paling awal wajib dilakukan ialah berkaitan komunikasi, penyampaian maklumat dan menjawab segala macam fitnah yang bertebaran.


Dalam konteks komunikasi tersebut, mereka yang sedia ada – daripada yang berjawatan menteri, ketua agensi, ketua pengarah dan lain-lainnya, semua itu harus segera diperbaiki, ditukar, diganti atau dipecat – mengikut keperluan dan kesesuaian, asal Anwar dapat dielakkan daripada ditumbangkan.


Tanpa keberanian melakukan sesuatu yang drastik dan luar biasa, keputusan PRU16 empat tahun lagi tidak akan jauh berbeza dengan PRN baru-baru ini. – ShahbudinHusin 19/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: