PEGAWAI KERAJAAN YANG RASA2 TAK DIPERLUKAN LAGI, ELOKLAH LEBIH DULU MENGUNDUR DIRI


 Selain perlantikan menteri-menteri yang menjadi perhatian umum ketika ini, pengisian bagi jawatan penting dalam beberapa instrumen kerajaan turut diperkatakan ramai.

Apabila kerajaan baru ditubuhkan dan Perdana Menteri baru turut dilantik, sekurang-kurangnya tiga jawatan penting dalam kerajaan paling menjadi perhatian kepada perlunya perubahan.

Tiga jawatan tersebut ialah Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Speaker Parlimen.

Setakat ini, hanya ternampak Speaker Parlimen yang disandang oleh Azhar Azizan Harun bakal mengalami pertukaran.

Dalam jadual sidang Parlimen pada 19 Disember nanti, memilih Speaker Parlimen yang baru telah ditetapkan sebagai jadual paling atas sekali.

Dengan kerajaan perpaduan yang dianggotai PH, BN, GPS, GRS, Warisan, PBM dan Bebas dengan jumlah Ahli Parlimennya seramai 148 orang, secara realitinya sukar untuk Azhar mempertahankan jawatannya.

PH sudah pasti akan memilih seorang Speaker yang memihak kepadanya untuk mengetuai Parlimen berbanding Azhar yang merupakan lantikan Mahiaddin Md Yasin di era PN sebelum ini.

Melihat kedudukannya yang sukar dipertahankan itu, pilihan terbaik bagi Azhar ialah beliau sepatutnya mengundurkan diri lebih awal lagi.

Tidak perlu menunggu sehingga pengundian pada 19 Disember nanti baru hendak meninggalkan kerusi empuknya itu.

Ini amalan demokrasi yang biasa, bahkan dengan meletakkab jawatan lebih awal dapat memudahkan Anwar dan kerajaan baru ini meletakkan calon penggantinya tanpa banyak masalah bagi memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan licin.

Begitu juga dengan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, kedua-dua mereka sebaiknya turut meletakkan jawatan lebih awal sebelum pengisiannya digantikan.

Dengan kerajaan baru dan Perdana Menteri baru, apa lagi yang mereka harapkan untuk terus tercongok di situ?

Takkan masih berharap disambung lagi…malulah sikit?

Dalam hal ini, mereka terbabit harus berjiwa besar dan menyedari ini adalah proses biasa dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Perdana Menteri yang memimpin kerajaan baru, bukan saja perlu disokong oleh Ahli Parlimen yang kukuh, malah oleh ketua-ketua jabatan kerajaan yang senada jiwanya. – ShahbudinHusin 02/12/2022.