Oleh Ghafar NS
Menolak untuk mengadakan mesyuarat Parlimen adalah tindakan khianat Perikatan Nasional terhadap Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, puluhan bilion wang negara kini hanya ditentukan oleh seorang individu dan bukannya melalui sistem semak dan imbang demokrasi berparlimen.
“DAP mempersoal kenyataan menyeleweng Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa ketelusan, akauntabiliti dan bahagian penting demokrasi berparlimen masih dapat ditegakkan dengan hanya menerbitkan jumlah yang dibelanjakan melalui warta kerajaan.
“Menerbitkan warta Kerajaan Persekutuan atau Negeri dengan jumlah perbelanjaan yang dilakukan di bawah kuasa darurat, tidak sama dengan amalan ketelusan atau akauntabiliti.
“Ini adalah satu penghinaan kepada Parlimen,” tegas Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan.
Tambah Guan Eng, satu perbahasan penuh Parlimen amat diperlukan yang merangkumi hak menasihat, perbezaan pendapat dan persetujuan oleh ahli Parlimen yang menjalankan tugas pengawasan Parlimen dan pemeriksaan perbelanjaan awam.
Parlimen, katanya adalah platform yang tepat untuk menyemak penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan, dan penyalahgunaan dana awam untuk tujuan politik, seperti peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) yang dipotong menjadi RM40.5 juta setelah mendapat bantahan dari Ahli Parlimen. –Roketkini.com