Baik dari kalangan menteri kabinet atau pemimpin PH, yang jelasnya tidak ada yang terlihat tampil memberi sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad dalam isu perbalahannya dengan Istana Johor sekarang ini.
Ini memberi gambaran bahawa Tun Mahathir hanya bersendirian dalam pertelingkahannya kali ini.
Tiadanya sokongan ini tidak lain disebabkan menteri dan pemimpin PH merasakan tiada kewajaran untuk Tun Mahathir mencetuskan pertelingkahan itu, bukan saja kerana menghormati bulan Ramadan, tetapi juga disebabkan ada keutamaan lain yang sepatutnya dilakukan oleh Perdana Menteri.
Memulihkan ekonomi yang bererti memberi lebih kesejahteraan kepada rakyat, seterusnya menahan kemerosotan sokongan daripada terus berlaku dan menunaikan janji-janji manifesto adalah dua keutamaan yang seharusnya didahulukan oleh Tun Mahathir daripada terus berbalah dengan Istana Johor, khususnya Tunku Mahkota Johor atau TMJ.
Hanya yang terlihat ke depan membela Tun Mahathir ialah A Kadir Jasin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi atau MPT Bersatu merangkap Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri.
Ketika Tun Mahathir mengeluh tentang campurtangan istana dalam pentadbiran kerajaan, ditambah dengan ketiadaan majoriti dua pertiga yang memustahilkan pindaan perlembagaan dilakukan dan kemudian menyifatkan TMJ sebagai “budak bodoh”, Kadir nampaknya lebih ke depan lagi tindakannya.
Sebagai sesuatu yang dianggap untuk memberi pengajaran kepada TMJ, Kadir malah meminta pihak polis agar membuka semula kertas siasatan lama berkaitan pewaris Sultan Johor itu, selain Lembaga Hasil Dalam Negeri turut diminta meneliti kembali berkenaan banyak mana cukai yang pernah dibayar oleh syarikat perniagaan mereka.
“Jadi kita kenalah buat sesuatu, tak cukup dengan cakap saja,” tulis Kadir lagi melalui Facebooknya.
Tetapi, sementara kita mengakui pihak Istana pun ada masalah dan kelemahannya, sikap Kadir ini adalah bahaya kepada masa depan PH sebagai sebuah kerajaan yang sedang mentadbir negara.
Oleh kerana Kadir berjawatan Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, tindakannya itu, baik meminta siasatan polis terhadap TMJ dibuka semula atau gesaan agar LHDN melihat kembali cukai-cukai perniagaan syarikat milik Istana Johor, ia dengan jelas memberi gambaran bahawa Pejabat Perdana Menteri sedia menggunakan apa saja kuasa yang ada untuk mengarahkan siasatan terhadap mereka yang tidak sebulu dengan kerajaan.
Apakah ini pendirian yang wajar bagi PH yang baru setahun mentadbir negara?
Kalau pihak istana pun diancam sedemikian rupa, apakah jaminan rakyat biasa tidak diperlakukan lebih teruk daripada itu jika mereka berbeza pendapat dengan kerajaan?
Namun, kenapa hanya cukai perniagaan Istana Johor saja dijadikan sasaran?
Bagaimana dengan istana di negeri-negeri lain yang diketahui turut ada perniagaan masing-masing, tidak mahukah Kadir meminta LHDN menyiasat sama?
Sikap berlebihan-lebihan Kadir dalam membela Tun Mahathir dan menyerang istana ini bukan saja bahaya kepada masa depan PH, malah mengundang lebih kebencian ramai terhadap kerajaan sendiri.
Itu belum dikira lagi ia juga turut memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk terus melemahkan kerajaan dan menambah sokongan mereka.
Yang nyata melalui penzahiran kata-kata Kadir itu serta jawatan yang disandangnya, kerajaan akan dilihat boleh bersikap tidak adil, pilih bulu,selektif dan tiada masalah dalam bermusuh secara berpanjangan dengan pihak istana, walhal Raja dan pentadbiran seharusnya saling bekerjasama kerana kedua-duanya adalah sistem yang sah dalam perlembagaan negara. (Shahbudindotcom 07/05/2019)