ALLAH melaknat iblis dan mengusirnya dari syurga buat selama-lamanya disebabkan kesombongannya. Hukuman itu menyebabkan iblis berdendam dengan Adam, lalu iblis memohon kepada Allah supaya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat.
Iblis bersumpah mahu menyesatkan Nabi Adam dan anak cucunya dari jalan benar serta menggoda supaya mengabaikan perintah Allah.
Permohonan itu dikabulkan, namun Allah mengiringi penerimaan itu dengan kutukan.
“Allah berfiman: Keluarlah engkau dari syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya.” (Al-A'raaf: 18)
Selepas iblis diusir dari syurga, tinggallah Nabi Adam keseorangan, tetapi ketika dia bangun daripada tidur tiba-tiba di sisi kepalanya ada seorang wanita (Hawa) yang dijadikan Allah kepadanya.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Hawa dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam ketika baginda tidur dan dia tidak berasa sakit.
Adam dan Hawa tinggal di syurga dengan penuh kenikmatan, namun dilarang mendekati sejenis pokok. Tetapi larangan itu tidak dipatuhi menyebabkan pakaian dan perhiasan mereka di syurga terlepas.
“Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Selepas mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (Al-A'raaf : 22)
Lanjutan daripada peristiwa itu juga Allah mengingatkan anak cucu Nabi Adam iaitu manusia supaya tidak terpedaya dengan syaitan, sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua-duanya dari syurga, sehingga terlucut pakaian mereka berdua.
Nabi Adam sambil menangis menoleh kepada Hawa lalu berkata: “Persiapkanlah dirimu untuk keluar dari sisi Allah. Inilah permulaan munculnya maksiat.”
Hawa menjawab: “Wahai Adam! Aku tidak pernah menyangka ada makhluk berani bersumpah palsu kepada Allah.”
Di syurga Nabi Adam sentiasa berlari kerana malu kepada Allah sehingga baginda mengira azab Allah dipercepatkan, lalu dia menundukkan kepala dan berkata: “Ampun! Ampun.”
Selepas diturunkan dari tempat suci ke tempat yang penuh kelaparan, Adam menangisi kesalahannya selama 100 tahun. Dia sentiasa menundukkan kepala di atas kedua-dua lututnya, sehingga titisan air matanya membasahi bumi, menumbuhkan rumput dan pokok.
Wahab bin Munabbih menceritakan, Nabi Adam berada dalam kemurkaan Allah selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, Allah memanggilnya, kemudian memberikan wahyu kepadanya:
“Wahai Adam, kesedihan apakah yang Aku lihat menimpamu hari ini? Bencana apakah menimpamu sehingga menyebabkanmu hanyut?”
Allah meminta Nabi Adam berkata: “Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau wahai Allah dengan segala puji-Mu, aku menganiaya diriku sendiri dan aku melakukan kejahatan, terimalah taubatku. Sesungguhnya, Engkau Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.”
Kemudian Allah mengirimkan kepada Nabi Adam sebuah khemah dan diletakkannya di tempat berdirinya Kaabah (sebelum Kaabah itu sendiri dicipta). Nabi Adam tinggal di situ dan seterusnya mengembangkan keturunannya.
Ada juga menceritakan Nabi Adam dan Hawa pertamanya tiba di puncak bukit di luar Makkah, dengan Adam di Safa, manakala Hawa di Marwa.
Sesetengah mendakwa Nabi Adam berpindah ke Sri Lanka dan di sana terdapat satu tempat dipanggil Kemuncak Bukit Adam yang dikatakan mengandungi jejak tapak kakinya yang besar.
Pendapat menerangkan Nabi Adam hidup 1,000 tahun. Baginda dimakamkan di al-Hindi, di kawasan sisi bukit dan dikatakan dekat dengan bukit (Abu Qabis) di Makkah. Baginda dikafan, disolat dan dimasukkan ke liang kubur oleh malaikat.