Tular merata video seorang ibu memarahi guru kerana merotan anaknya hingga berbekas di lengan, betis dan paha.
Isu ini menjadi sangat panas sehingga KPM terpaksa mengeluarkan kenyataan media supaya siasatan adil dilaksanakan.
Banyak pihak minta aku ulas isu ini. Maka aku menulis dari sudut pandangan aku.
1. Dalam kes ini, kedua-dua pihak ada melakukan kesalahan. Murid melanggar peraturan sekolah (menghina guru), dan guru pula bertindak balas dengan merotan dengan berlebihan. Jelas, dua-dua salah.
2. Namun dalam isu ini, perlu dipersoal siapa yang merakam video. Itu kesalahan yang patut didakwa dan diharap pihak KPM mahu pun sekolah tidak mengambil ringan hal itu.
3. Perakam merakam video dengan tujuan untuk mengaibkan guru dan pihak sekolah. Adalah menjadi kesalahan merakam penjawat awam di premis mereka kemudian menyebarkan dengan niat memburukkan mereka.
4. Adakah pelawat (ibu pelajar) memakai pass pelawat dan melapor diri pada pengawal keselamatan sebelum masuk ke sekolah? Jika tiada, satu lagi tindakan perlu diambil. Sekolah adalah tempat selamat untuk murid-murid, jika sesiapa boleh menceroboh tanpa pas pelawat dan tanpa lapor diri, tindakan perlu diambil kerana ini isu keselamatan.
5. Pentadbir. Tindakan pentadbir dalam kes ini dilihat sangat cuai dan tidak memberi peranan. Di seluruh negara, kes seumpama ini kerap berlaku. Ibubapa datang mengadu sepatutnya melalui pentadbir, bukan berhadapan dengan guru itu sendiri.
Satu keputusan yang salah membiarkan ibubapa yang kemarahan berhadapan dengan guru yang bengang. Dalam kes ini, aku puji guru tersebut masih kekal tenang dan masih bersopan dengan penyerang dengan memanggilnya ‘puan’.
6. Itu antara kesalahan yang aku perasan sepanjang tempoh rakaman yang berdurasi 2 minit 18 saat itu. Berbalik pada guru tersebut, tindakannya merotan sebegitu rupa pada aku adalah melampau. Adalah salah untuk bertindak sampai tahap itu.
NAMUN, pada aku pelajar itu yang mencetuskan provokasi melampau dan sangat biadab!
Berkata pada kawan-kawan lain di depan guru tersebut dengan menggelarnya ‘pondan’ adalah satu perbuatan biadab yang memang akan mencetuskan perasaan marah sesiapa sahaja.
Maka tidak hairanlah seorang guru yang berdedikasi dan disayangi pelajar-pelajar lain bertindak diluar jangkaan sebegitu.
7. Aku banyak membaca komen-komen dari pelajar dan bekas pelajar beliau, guru itu memang guru yang bagus!
Beliau disayangi oleh pelajar Cina, India dan Melayu. Ramai pelajar beliau datang ‘back up’ beliau selepas video itu ditularkan.
8. Aku sejujurnya terkejut dengan tindakan netizen. Aku menjangkakan banyak kemarahan netizen pada guru tersebut terutamanya dari kaum Cina. Ini kerana pelakunya orang Melayu dan yang dirotan itu orang Cina.
Namun ini tidak berlaku!
Sebaliknya netizen rata-rata menganggap pelajar itu melampau batas dan memang patut dikenakan hukuman.
Banyak komen-komen dari netizen berbangsa Cina ‘back up’ cikgu tersebut. Aku sangat terharu dengan hal ini.
Menandakan orang ramai masih menghormati profesion seorang guru tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan di negara kita masih erat sebenarnya.
Tiada isu perkauman yang ditimbulkan. Isu yang semua orang timbulkan ialah;
“Kenapa you biadab pada cikgu you?”
Itu isunya. Perakam yang menyebarkan video pasti menyesal kerana harapan perakam pastinya mahu melihat netizen mengecam guru, namun sebaliknya yang berlaku.
Bahkan ada yang ingin mengutip dana sekiranya cikgu tersebut didakwa di mahkamah. Dan netizen itu ialah orang Cina. Wahhh, terharu tengok perpaduan seperti ini.
Penularan video ini membuka mata rakyat Malaysia bahawa kita sebenarnya masih harmoni dan damai hidup berbilang bangsa.
Mungkin kita tidak sependapat dalam beberapa perkara, namun dalam soal menghormati guru kita semua sepakat dan bersatu hati.
Adalah menjadi harapan aku agar isu ini diselesaikan dengan cara aman dan harmoni tanpa perlu melibatkan mahkamah dan dakwaan.
Namun sekiranya itu berlaku, aku akan memberi sokongan penuh pada guru tersebut.
Sekian, terima kasih.
************
– Ini adalah pandangan peribadi penulis. Tidak mewakili mana-mana pihak dan jabatan. Harap maklum.
#MFS
– Guru masih dihormat. Terima kasih Malaysian! –
– Guru masih dihormat. Terima kasih Malaysian! –
Sumber: Mohd Fadli Salleh via coretan Hati