DI MANA LEBIH BANYAK PAHALA, BERIBADAH ATAU MELAWAN RASUAH?


Mufti Perak, Harussani Zakaria dilaporkan meminta Tun Mahathir Mohamad supaya berhenti daripada terus mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib Razak, sebaliknya menggunakan baki usia yang ada untuk memperbaiki serta meningkatkan amalan seharian.

Saya nasihatkan berhentilah mencari jalan yang bukan-bukan untuk menjatuhkan orang lain, lebih baik beramal di hujung usia yang masih ada, kata beliau.
Seperti biasa, inilah selalunya wajah sebenar para mufti, kecuali seorang dua iaitu diam atau tidak berani menegur segala kebejatan pemerintah, tetapi pantas membuka mulut kepada orang lain yang berani mengkritik kerajaan?

Apakah saranan agar memperbaiki amalan sendiri itu suatu perkara yang betul dan perlu diutamakan pada pandangan ulama dan agamawan apabila berdepan kekalutan yang kronik dalam negara?

Apakah Harussani faham mengenai skandal 1MDB, SRC International, pemecatan Peguam Negara, perlambakan kontrak-kontrak kerajaan pada harga tinggi kepada China, pembelian Eagle High oleh Felda yang lebih RM1.43 bilion berbanding harga pasaran serta  seribu satu kemungkaran yang lain yang berlaku silih berganti?

Bila Harussani mahu menegur Najib berkaitan semua perkara di atas, termasuk berkaitan pembaziran serta kemewahan melampau yang menjadi budaya keluarga Perdana Menteri  sejak menduduki Seri Perdana?

Tidakkah apabila Tun Mahathir bersuara, beliau sebenarnya telah melakukan amalan fardu kifayah yang turut mendatangkan pahala, bukan saja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain?

Selain itu, mana Harussani tahu Tun Mahathir tidak memperbaiki dan meningkatkan amalan peribadinya di hujung usia?

Apakah pahala dan bekalan ke akhirat hanya ada di atas sejadah sahaja?

Antara meningkat dan memperbaiki amalan peribadi dengan berjuang dalam konteks yang lebih besar untuk menyelamatkan negara, yang manakah memberi pahala lebih besar?

Apabila Harussani menegur Tun Mahathir, sebenarnya rakyat negara ini lebih banyak lagi pertanyaan untuk ditujukan kepadanya sehingga ada yang bertanya, sudah cukupkah amalan peribadi mufti itu sendiri untuk menampung dosa atas sikapnya yang lebih condong kepada kerajaan kleptokrasi sekarang ini?

Apakah menegur Tun Mahathir yang sedang berjuang menyelamatkan negara memberi pahala lebih besar bagi Harussani berbanding bersekongkol dan mengampu kerajaan dan pemimpinnya yang terang-terang kesalahannya diperkatakan di seluruh dunia? (SH 28/12/2016).