NARATIF KEBENCIAN PUAK GHULAW DAN KHAWARIJ.



Jamzuri Ardani



 Ini antara contoh naratif kebencian dan permusuhan agama yang sering disebarkan oleh pendokong politik ghuluw dan takfiri. 



Pertamanya, naratif seperti ini boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama. Ia tidak mempunyai objektif yang baik dalam konteks dan realiti kehidupan rakyat Malaysia. Hanya sekadar membawa sentimen 'Islam terancam' yang palsu dan hanya diada-adakan bagi menjustifikasikan amalan politik ghuluw dan takfiri. 


Kedua, argumentasi yang fatal dari sudut logika. Bukan tanggungjawab non-muslim pun untuk memartabatkan Islam. Kenapa mahu meletakkan kesalahan ke atas non-muslim kerana tidak memartabatkan Islam? Ini contoh pemikiran eksklusif kelompok ghuluw dan takfiri. Orang yang tidak mendokong hasrat dan pemikiran mereka adalah musuh yang jahat. 


Mereka terasa terancam bila non-muslim berjudi, minum arak, pergi konsert, dedah aurat dan seumpamanya. Bagi mereka non-muslim yang hidup tidak ikut cara Islam seperti mereka adalah musuh Islam yang jahat. 


Ketiga, faktanya salah. Abi Talib adalah seorang musyrik yang menjaga dan mempertahankan Nabi SAW di Mekah. Selepas Abi Talib meninggal dunia, Muth'im bin Adi, Ketua Kabilah Bani Naufal pula memberi perlindungan kepada Nabi SAW di Mekah. Ketika peristiwa Hijrah, Nabi SAW dibantu oleh seorang musyrik bernama Abdullah bin Uraiqi'.  Pasukan tentera Amru ibn Al As mendapatkan bantuan dari seorang musyril berbama Rafi' ibn Amir dalam perang Dzat Al Salasil. 


Malah dalam sejarah dicatatkan umat Islam dan orang Yahudi sama-sama berjuang mempertahankan tanahair mereka bersama di Andalusia menentang 'Spanish Inquisition'. Orang Yahudi pernah dilantik menjadi Panglima Tentera dalam kerajaan Islam di Andalus. 


Sultan Salahuddin Ayyubi pernah melantik seorang pendeta Yahudi sebagai doktor peribadinya di Mesir. 


Dicatat dalam sejarah juga ketika tentera Monggol menyerang bandar-bandar umat Islam di Syam, ribuan orang Yahudi yang mati ketika berperang bersama umat Islam mempertahan bandar-bandar tersebut.


Janganlah dengan mudah menafikan fakta sejarah bahawa umat Islam pernah hidup harmoni dan saling membantu antara satu sama lain di dalam menjalani kehidupan di atas dunia. 


Menyebar naratif kebencian dan permusuhan antara penganut agama hanya kerana mahu menegakkan sentimen politik 'Islam terancam' adalah satu bentuk sabotaj ke atas pembinaan negara bangsa yang bersatu-padu.



No comments: