Selagi tidak ada kata putus yang muktamad, isu khemah besar akan
terus menjadi perdebatan yang terbuka dan menghangatkan dalam blok pembangkang.
Pihak yang mahu kepada idea khemah besar akan terus dengan
hujah-hujah mereka, begitu juga mereka yang tidak setuju dengannya akan terus
melontarkan sanggahan fakta.
Sementara ada kelompok pimpinan PH sendiri terlihat seperti akur
dengan idea itu, tetapi jika dilihat di media sosial misalnya, ramai yang
meluahkan rasa tidak setuju dengan pendekatan khemah besar itu.
Di kalangan pimpinan, sejak mengumumkan kembali ke pentas
politik, hanya Rafizi Ramli yang begitu lantang menolak idea khemah besar
tersebut.
Sebaliknya, bagi beliau, untuk menang dan mendapat undi dalam
pilihan raya, PH perlu kembali menyantuni serta mendekati rakyat dengan
memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan mereka.
Malah, beliau juga memperkenalkan Ayuh Malaysia bagi menarik
minat sukarelawan dan merangsang pengundi atas pagar untuk mengambil bahagian
dalam PRU15 akan datang.
Rafizi juga agresif dalam isu rasuah di mana beliau bukan saja
menentang amalan tersebut, malah menyerang mereka yang terlibat dan pelakunya
yang terkait dengan amalan tersebut.
Barangkali apa yang dilakukan Rafizi ini berbeza dengan
sesetengah pihak dalam PKR dan PH sendiri di mana walaupun mereka juga
menentang amalan rasuah, tetapi dilihat tidak pernah mengusik pelaku yang
dikaitkan dengan rasuah seperti Najib Razak misalnya.
Seharusnya rasuah bukan saja mesti ditentang amalannya, bahkan
pelakunya hendaklah juga lebih agresif ditentang kerana kadang-kadang pelaku
itu pandai berlagak suci seperti Robin Hood yang kononnya berjuang membela
orang miskin.
Pokoknya perlukah PH kepada khemah besar?
Jika dilihat secara teliti, semua parti yang ingin diajak
bernaung di bawah khemah besar oleh PH itu adalah mereka lebih awal terlibat
dengan pengkhinatan sebelum Langkah Sheraton lagi iaitu bersekongkol dengan
usaha memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Jika dulu janji peralihan kuasa benar-benar dipatuhi dan tidak
ada cubaan memungkirinya, pasti Langkah Sheraton tidak berlaku.
Dalam hal ini, kalau parti-parti tertentu dalam PH boleh menolak
untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana terlibat dalam peristiwa pengkhianatan
Langkah Sheraton dan tikam belakang, kenapa pula mahu menjalin kerjasama dengan
mereka yang lebih dulu pernah berlaku khianat?
Secara jujurnya, kalau demi untuk menang pilihan raya
semata-mata maka kita sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja, termasuk mereka
yang pernah bersikap khianat, lebih baik sejak awal lagi pergi bersama dan
bersekongkol dengan mereka.
Tidakkah dengan bekerjasama semula dengan mereka yang pernah
khianat itu akan menjadikan PH kelihatan sama-sama kotor di mata rakyat?
Lebih-lebih lagi jika melalui khemah besar itu hanya sekadar
dalam bentuk kerjasama yang longgar saja.
Apa jaminan, setelah menang melalui naungan khemah besar yang
ditawarkan oleh PH itu nanti, mereka tidak bersikap onar?
Begitu pun, dalam politik, semua kita sedar, tiada musuh yang
kekal dan tiada sahabat yang abadi, tetapi setidak-setidaknya kalau pun ingin
menawarkan kerjasama, ia bukanlah semata-mata untuk memberi mereka tempat
bernaung.
Jika parti-parti di luar PH benar-benar serius mahu bekerjasama,
sepatutnya bukan melalui pendekatan khemah besar, tetapi dengan memilih
menyertai PH dan menerima Anwar sebagai pemimpinnya.
Pemimpin-pemimpin PH sendiri yang ketika ini dilihat galak
dengan idea khemah besar itu seharusnya lebih agresif mempelawa, mengajak dan
mempengaruhi semua parti-parti itu untuk menyertai PH secara rasmi daripada
semata-mata bekerjasama secara longgar.
Khemah besar, tapi mereka bukan menjadi komponen PH, hanya
mendedahkan kemungkinan berulangnya pengkhianatan. - ShahbudinHusin 18/04/2022.