Menjelang pemilihan UMNO beberapa bulan lagi, terdapat dua pendapat popular dalam parti itu ketika ini.
Satu kumpulan mahu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, manakala satu pihak lagi menolak sebarang cubaan untuk menyekat pertandingan.
Kata mereka, menyekat pertandingan selepas PRU berakhir lebih meletakkan UMNO sebagai parti yang tidak demokratik di mata rakyat.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, perkara itu akan diputuskan ketika mesyuarat MT Khas pada 12 Jan 2023 akan datang iaitu sehari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO atau PAU 2022.
“Belum ada sebarang keputusan mengenainya (jawatan presiden dan timbalan) sehingga hari ini. Kita tunggulah selepas mesyuarat MT nanti,” kata beliau.
PAU 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Dis 2022 telah ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan 2023.
Ia bermula dengan majlis taklimat presiden pada 11 Januari, diikuti perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 12 Januari, seterusnya Perhimpunan Agung UMNO pada 13 dan 14 Januari.
PAU 2022 pada 11 hingga 14 Januari ini tiada sebarang pertandingan, sebaliknya pemilihan UMNO akan berlangsung pada PAU2023 yang mengikut perlembagaan mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU berakhir.
Bermakna, pemilihan UMNO atau PAU 2023 hendaklah diadakan sebelum Jun 2023.
Sehingga ini belum dipastikan sama ada kedudukan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO akan dicabar atau sebaliknya, begitu juga dengan Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden.
Namun demikian, berdasarkan petunjuk mutakhir, termasuk cakap-cakap pelbagai pihak dalam UMNO sendiri, besar kemungkinan Hishammuddin Hussein akan bertanding merebut jawatan Presiden UMNO menentang Zahid Hamidi.
Hishammuddin sendiri, dalam hantaran video terbaru di media sosialnya turut memperlihatkan kecenderungan ke arah itu melalui iltizamnya untuk memperkemas semula keyakinan rakyat terhadap UMNO setelah mengalami keputusan terburuk pada PRU15 lalu.
Soalnya, bagaimana dengan hasrat mereka yang ingin mencabar kedudukan Zahid Hamidi itu, khususnya Hishammuddin dan kumpulannya, jika mesyuarat MT Khas pada 12 Januari nanti menetapkan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO?
Untuk memastikan cita-cita pencabar Zahid Hamid itu tidak tergendala dan mengelakkan mereka berterusan “makan hati” dalam UMNO, mereka adalah dinasihatkan agar bertindak lebih pantas dalam hal ini.
Jika benar mahu bertanding dan beriltizam ingin memulihkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO, mereka mesti mengumumkan hasrat bertanding itu sebelum 12 Januari ini.
Sebarang hasrat ingin memulihkan semula keyakinan rakyat akan terkubur dengan sendirinya jika MT UMNO pada 12 Januari membuat ketetapan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang mana ini bermakna Zahid Hamidi akan kekal menguasai parti sehingga berlangsungnya PRU16 pada tahun 2027 akan datang.
Setidak-tidaknya dengan pengumuman lebih cepat itu mereka dapat menghalang mesyuarat MT Khas UMNO pada 12 Januari nanti daripada membuat keputusan tidak membenarkan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Malah, jika mesyuarat MT Khas UMNO berani juga membuat keputusan seperti itu, nampak sangatlah Zahid Hamidi takut jawatannya daripada ditandingi.
Masalah besarnya, beranikah pula pencabar Zahid Hamidi membuat pengumuman yang cepat itu? – ShahbudinHusin 27/12/2022.