RASANYA ISMAIL SABRI AKAN MENERIMA NASIB YANG LEBIH BURUK DARI MAHIADDIN YASSIN


 Setakat ini belum ternampak lagi ada mana-mana suara yang memuji kabinet yang dibentuk semalam oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Rata-rata melontarkan kritikan dan kecaman yang menampakkan ketidakyakinan dan rasa kecewa mereka kerana tiada pembaharuan yang ditampilkan dalam sususan kabinet itu.

Sementara UMNO dan Najib Razak sendiri dilihat agak berhati-hati dalam memberi reaksi, mereka yang biasa mengampu Perdana Menteri pun nampaknya takut mengeluarkan suara puji-pujian.

Di dunia nyata dan di alam maya, semuanya sarat dengan kritikan daripada pelbagai aspek yang menggambarkan Ismail Sabri sebenarnya adalah Perdana Menteri paling buruk buat negara.

Kalau dulu disangkakan Mahiaddin Md Yasin yang paling teruk, kini rupa-rupanya Ismail Sabri jauh lebih memperlihatkan ketidakmampuan dan tiada wibawa dalam dirinya.

Sepatutnya beliau mengekalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri serta berani melantik mereka yang sesuai untuk jawatan itu kalau pun kiranya enggan bersetuju dengan calon yang dicadangkan Bersatu.

Bukankah kuasa melantik itu merupakan prerogatif Perdana Menteri?

Selain mengekalkan menteri kanan yang menjadi pertikaian, mengekalkan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Pendidikan turut merupakan sesuatu yang mengecewakan.

Tidakkah Ismail Sabri sedar bagaimana rakyat banyak mengeluh tentang Tengku Zafrul yang lebih menampakkan dirinya sebagai wakil bank berbanding wakil rakyat?

Begitu juga dengan Dr Radzi yang dipertikai oleh hampir semua guru dan ibu bapa berkenaan keberadaannya yang dilihat tidak berfungsi sebagai Menteri Pendidikan selama ini?

Apakah Ismail Sabri tidak sedar suara-suara rakyat bawahan yang sebahagiannya turut diluahkan di media sosial?

Hakikatnya sukar memahami untuk apa dikekalkan kedua-dua menteri yang menjadi pertikaian ramai itu.

Begitu juga dengan Dr Adham Baba yang masih dikekalkan lagi sebagai menteri dengan hanya bertukar kementerian dengan Khairy Jamaluddin, tindakan ini turut sukar difahami logik dan keperluannya.

Apakah Ismail Sabri selama ini tidak pernah mendengar bagaimana Dr Adham dikritik, dipertikai, disindir, dipersenda, dihentam dan dibenci oleh rakyat?

Apakah Ismail Sabri sebenarnya tidak pernah membaca luahan-luahan rakyat di media sosial?

Paling mengecewakan dalam susunan kabinet ini ialah kerana Ismail Sabri membawa masuk muka-muka lama yang sedia dibenci rakyat atas pelbagai isu ketika mereka menjadi menteri di era BN dahulu.

Mambawa masuk Shahidan Kassim, Noh Omar dan Mahadzir Khalid misalnya adalah liabiliti yang akan mendedahkan lagi Ismail Sabri kepada balunan ramai.

Mereka itu adalah besi-besi buruk yang sudah berkarat yang jika digunakan untuk membuat bangunan hanya lebih mungkin membawa keruntuhan berbanding memastikan bangunan tersebut dapat tahan lebih lama.

Mereka itu seharusnya ditunjukkan jalan persaraan, bukan terus diberikan talian hayat yang menyebabkan mereka gila-gila mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang.

Dengan Ismail Sabri baru berusia awal 60an, beliau sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk mengangkat ramai muka-muka baru atau menaikkan pangkat beberapa timbalan menteri sebelum ini untuk menjadi menteri, bukan menampilkan wajah-wajah pencen untuk terus diberikan jawatan.

Selain itu mengekalkan saiz kabinet yang dikira masih besar dalam suasana pandemik, kerajaan tidak banyak wang dan ramai rakyat hilang pendapatan adalah cerminan jiwa Ismail Sabri tidak berjiwa prihatin.

Susunan kabinet yang langsung tidak menampakkan pembaharuan ini, selain lebih mungkin menjuruskan Ismail Sabri ke lembah kegagalan yang lebih dalam, bahkan hampir tidak memberi sebab untuk rakyat yang waras dan matang untuk mengekalkan lagi mereka dalam pengundian PRU akan datang. – ShahbudinHusin 27/08/2021)