Geram tak dapat menghadap Agong, Hadi bagi signal PAS kekal istiqamah bersama Muhyiddin
Ketika seorang lagi pemimpin tertinggi parti politik memasuki pintu gerbang Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat nukilan mengenai situasi semasa negara dari “jendela Institut Jantung Negara.”
Abdul Hadi berkata, ketika negara berdepan dengan situasi Covid-19, ada pihak tertentu yang didakwanya tidak berhenti daripada amalan politiking dan sangat bernafsu mahu mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri.
“Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal dari bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera.
“Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat,” katanya dalam catatan disiar di media sosialnya petang ini.
Untuk rekod Abdul Hadi ketika ini masih dirawat di IJN dan pada 6 Jun lalu salah seorang anak lelakinya Muhammad Khalil meminta orang ramai mendoakan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu supaya diberi kesembuhan segera.
Kata Muhammad Khalil, Abdul Hadi, 73, berada dalam keadaan stabil namun masih memerlukan rawatan susulan dan pemantauan doktor.