STEVEN vs FAWWAZ
Calon PH dan BN, dua-dua orang agama - dari sudut latar belakang pengajian. Tak mustahil dalam tempoh kempen nanti, kedua-duanya akan cuba untuk menampilkan diri sebagai lebih beragama berbanding seorang lagi.
Penyokong kedua-dua belah pihak akan menjela-jelakan profil calon masing-masing - seperti dalam e-poster - sebagai tokoh agama terbilang yang begitu banyak berjasa dalam kerja-kerja agama. Jadi guru takmir pun masuk dalam biodata peribadi.
Dalam PRU keberapa aku tak ingat, di Arau, apabila Pas menampilkan seorang tokoh agama terkenal sebagai calon - semoga Allah mengampuni al-marhum -, calon BN pula ke mana-mana sahaja sentiasa berjubah putih dan berketayap. Sekali-sekali dia akan menyapa orang ramai dengan lafaz kaifa haluk.
Hati kecil aku sebenarnya mahu BN meletak calon yang bukan latar belakang agama. Letaklah pakar perubatan, pakar kejuruteraan, pakar IT, pakar perakaunan, pakar bahasa, pakar undang-undang, pakar pertanian atau selainnya, yang penting bukan pakar bidang agama.
Kenapa? Persepsi aku, orang agama hanya pandai berteori, tak pandai melaksana. Ya, bukan semua orang agama begitu dan aku pun tahu hal itu. Tapi realiti di hadapan mata memang begitu. Banyak contoh yang kita boleh nampak dan rasa.
Antaranya, cuba tengok beza Steven Sim dengan Fawwaz Mat Jan. Bab bersyarah agama, berpidato bab hukum, memang Fawwaz menang. Tapi bab melaksana, Steven jauh meninggalkan Fawwaz macam arnab tinggalkan kura-kura dalam lumba lari. Sampai ke kawasan Fawwaz pun Steven liputi dengan khidmatnya.
Kita sedang melalui situasi fasa-fasa kecanduan agama dalam kalangan masyarakat. Iaitu, mengagamakan semua urusan hidup dan menjadikan agama sebagai alas atau bahan lapik untuk berbuat perkara kurang elok. Sikit-sikit agama, sikit-sikit agama sampai rumput panjang depan rumah pun tak dipotong. Alasannya sibuk dengan urusan agama.
Aku bukan menafikan peranan agama dalam mensejahterakan kehidupan manusia di dunia dan di akhirat, tapi aku mahu orang Islam menilai kembali cara mereka berfikir, menanggapi agama dan beramal dengan agama.
Cara kita beragama berbeza dengan cara para sahabat Nabi beragama. Agama membawa mereka menguasai dunia tetapi agama membawa kita terporok di sudut-sudut masjid. Bukan salah agama, tapi salah kita yang kecanduan agama. Kita membawa agama seperti keldai memikul kitab.
Tentulah tak sampai hati aku untuk berharap calon PSM KS Bawani menang. Tapi andai kedua-dua calon BN dan PN mempunyai pemikiran agama seperti yang aku tulis di atas, atau ringkasnya kecanduan agama juga, apa salahnya KS Bawani menang?
Zola,
09042025
No comments:
Post a Comment