TIDAK MUDAH UNTUK NAJIB DAPAT PENGAMPUNAN

 

Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun semalam mengesahkan Najib Razak telah memfailkan petisyen bagi memohon pengampunan diraja atas pemenjaraan 12 tahun yang kini diterimanya.

Sehubungan itu, katanya, status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan tidak terlucut dan kekal sehinggalah permohonan pengampunannya dibereskan.

Tambah beliau, Najib hanya akan kehilangan statusnya sebagai Ahli Parlimen Pekan sekiranya permohonan pengampunan diraja itu ditolak.

“Memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan oleh Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (PP) pada 2 September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuatkuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (jika petisyen ditolak).

“Ini bermakna status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam hal berkaitan, ramai yang bertanya, adakah ini bermakna Najib mungkin akan bebas dalam waktu terdekat ini?

Sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara, petisyen pengampunan hendaklah difailkan dalam tempoh 14 hari setelah mahkamah paling tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan membuat keputusannya, tetapi tiada had masa bila pengampunan itu mesti diberikan.

Keputusan mengenainya akan diputuskan oleh Lembaga Pengampunan di mana Yang Dipertuan Agong adalah pengerusinya.

Boleh jadi Lembapa Pengampunan hanya akan bersidang dua tiga tahun atau lima enam tahun akan datang, tetapi memetik kenyataan bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman sebelum ini, pengampunan biasanya hanya diberikan setelah pesalah menjalani dua pertiga daripada hukuman yang telah disabitkan.

Ini bermakna, dalam kes Najib, tidak mungkin pengampunan diberikan dalam waktu yang terdekat ini kerana beliau belum pun sampai sebulan menjalani hukumannya.

Jika tiba-tiba diampunkan dan diberi pembebasan, kesan buruknya ialah seolah-olah keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman 12 tahun penjara telah tidak dihormati.

Sebarang keputusan berkaitan pengampunan oleh Agong juga bukan atas kapasiti baginda secara peribadi, tetapi melalui Lembaga Pengampunan yang turut dianggotai Perdana Menteri, Peguam Negara, menteri di mana pesalah menjalani hukuman dan beberapa orang lagi yang dilantik oleh Agong.

Di waktu yang sama juga, mahu tidak mahu, apa-apa keputusan tetap terikat dengan peruntukan undang-undang dan ketetapan perlembagaan negara.

Jadi, jangan risau atau bimbang dengan pemfailan petisyen itu, ia tidak menggambarkan pengampunan akan diberikan dalam waktu terdekat ini atau dalam erti kata lain, Najib bakal dibebaskan tidak lama lagi.

Cuma, peruntukan perlembagaan menetapkan begitu iaitu jika ingin memohon pengampunan diraja bagi mengelakkan status Ahli Parlimen terlucut, ia hendaklah dilakukan dalam tempoh 14 hari.

Namun, Lembaga Pengampunan tidak terikat dengan tempoh masa tertentu untuk memberi pengampunan atau membuat keputusannya.

Berkaitan kes Najib khususnya, memberi pengampunan diraja dalam waktu terdekat turut terhalang kerana beliau masih mempunyai empat kes lagi yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Empat kes itu ialah penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB, salah guna kuasa untuk meminda laporan audit, pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan penggubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Dalam hal ini, bagaimana Lembaga Pengampunan mahu memberi pengampunan jika Najib masih ada kes yang belum selesai lagi?

Jika didapati bersalah lagi selepas ini dalam semua kes yang dihadapinya, sedangkan pengampunan hukuman berkaitan SRC International katalah sudah diberikan, apakah selepas itu Lembaga Pengampunan perlu memberi pengampunan sehingga empat kali lagi kepada Najib?

Lawaklah pula jadinya asyik-asyik kes Najib saja hendak diampunkan oleh Agong?

Paling rasional Lembaga Pengampunan harus bersidang ialah setelah Najib selesai dalam semua kes mahkamahnya serta setelah menjalani sebahagian besar daripada tahun hukuman yang diterimanya.

Atau jika mahu cepat, Najib mesti mengaku bersalah atas keempat-empat kesnya yang belum selesai itu dan kemudian setelah semua hukuman dirangkumkan serta menjalani kehidupan di penjara selama beberapa tahun, ketika itu mungkin ada kewajaran untuk Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepadanya.

Tetapi, sediakah Najib mengaku bersalah atas semua kes itu yang ia dengan sendirinya bermakna beliau mengakui secara keseluruhan penglibatannya dalam skandal 1MDB? – ShahbudinHusin 06/09/2022.



No comments: