M.ASRI M JAMIL
Masih lagi berkaitan isu 5,207 hektar tanah yang kononnya diserahkan kepada Indonesia, dakwaan ini terus berlegar di media sosial sehingga mencetuskan persepsi seolah-olah Malaysia telah menggadaikan kedaulatan negara. Hakikatnya, naratif tersebut tidak tepat dan berpunca daripada salah faham terhadap isu sempadan yang bersifat teknikal serta berasaskan sejarah perjanjian lama.
Isu ini bukan soal jual beli tanah atau penyerahan wilayah, sebaliknya melibatkan Outstanding Boundary Problems (OBP) — kawasan sempadan yang sejak era kolonial tidak pernah dimuktamadkan secara terperinci di lapangan. Asas perundangannya telah lama wujud melalui Perjanjian British–Belanda 1915 dan 1928, namun kekangan teknologi pada ketika itu menyebabkan garis sempadan tidak dapat ditentukan dengan tepat.
Apabila pengukuran moden dijalankan berdasarkan prinsip watershed (aliran air) dan garis latitud 4°20’, kawasan pertikaian di sekitar Sungai Sinapat dan Sungai Sesai yang berkeluasan kira-kira 5,987 hektar diperincikan semula. Hasil pengukuran ini mendapati Malaysia disahkan memperoleh 780 hektar, manakala 5,207 hektar kekal sebagai wilayah Indonesia kerana kawasan tersebut sememangnya terletak di selatan garis sempadan yang dipersetujui sejak awal.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak kehilangan walau seinci tanah yang pernah menjadi miliknya. Sebaliknya, Malaysia memperoleh kepastian kedaulatan ke atas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam keadaan samar dari sudut pentadbiran. Angka 5,207 hektar yang sering dimainkan sebenarnya bukan tanah Malaysia yang “diserahkan”, tetapi wilayah Indonesia yang baru disahkan secara rasmi selepas rundingan dan pengukuran bersama.
Penjelasan mengenai perkara ini telah dinyatakan di Parlimen oleh YAB PMX, Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa tiada pelepasan wilayah berdaulat Malaysia berlaku dan proses ini telah berjalan merentasi beberapa pentadbiran, selaras dengan undang-undang antarabangsa. Isu ini perlu dilihat sebagai usaha memperjelas sempadan negara, bukan bahan untuk dimanipulasi demi sensasi politik.

No comments:
Post a Comment