BENARKAH RAKYAT PUNCA KEGAGALAN DAN PERTUKARAN KERAJAAN TIDAK MAMPU MERUBAH KEADAAN?

 

Berikutan trending tanda pagar #KerajaanGagal dan #KerajaanBodoh di media sosial sejak kebelakangan ini sebagai manifesti penolakan terhadap kerajaan, bersekali dengan kecaman terhadap beberapa menteri yang juga dianggap gagal dan tidak berfungsi, terdapat kecenderungan untuk mengalihkan kegagalan itu kepada rakyat sendiri.

Mereka mengatakan, yang sebenarnya gagal ialah rakyat itu sendiri, bukannya kerajaan, Perdana Menteri atau menteri-menterinya.

Hujah mereka ialah jika kerajaan didakwa gagal dalam menguruskan pandemik Covid19 dengan berkesan, rakyat jauh lebih gagal kerana masih ramai yang cuba merentas negeri secara haram, berziarah ketika Aidil Fitri dan pergi ke tempat-tempat yang sesak tanpa keperluan yang mendesak.

Mereka seterusnya berkata, berbanding kerajaan, rakyatlah sebenarnya yang menjadi penyumbang kepada kegagalan kerajaan itu.

Serentak dengan sikap rakyat yang dikatakan gagal itu, mereka berhujah lagi bahawa pertukaran kerajaan tidak mungkin dapat membawa apa-apa perubahan kepada negara kerana rakyat yang sama yang menyumbang kepada kegagalan itu masih tetap ada untuk terus membawa kegagalan.

Benarkah begitu?

Yang nyata, kecenderungan untuk menyalahkah rakyat ini adalah suatu pandangan yang nyata bertujuan agar kerajaan PN dan Mahiaddin Md Yasin terus diberi ruang memimpin negara ini.

Dalam erti kata lain, mereka kini kian menyedari PN dan Mahiaddin gagal berfungsi, semakin ditolak dan tidak lagi diperlukan.

Hakikatnya, tugas kerajaan dan pemimpin ialah memimpin dan kerana mereka dibayar gaji yang lumayan dengan pelbagai kemudahan serta berpeluang pula menyapu komisyen untuk kemewahan diri sendiri dan keluarga, malah untuk menambah isteri sehingga dua atau tiga, beban kesalahan atas kegagalan itu haruslah ditanggung sepenuhnya oleh mereka, bukan rakyat.

Rakyat sebaliknya hanya kelompok penerima sebagai balasan pelbagai cukai yang perlu mereka bayar kepada kerajaan untuk membayar gaji dan segala kemudahan yang dinikmati oleh pemimpin.

Maka itu, di mana asasnya untuk meletakkan beban kegagalan kerajaan kepada rakyat?

Memang benar ada rakyat melanggar SOP, banyak yang cuba merentas negeri dan pergi ke tempat-tempat sesak yang tidak perlu, tetapi harus diingat, pemimpin juga ramai yang berbuat demikian.

Wajarkah pemimpin turut sama degil melanggar SOP dan cuba merentas negeri sedangkan peraturan itu mereka sendiri yang memperkenalkannya, di samping kedudukan mereka adalah pemimpin yang dibayar gaji seharusnya memimpin dan menunjuk teladan kepada rakyat, bukan menjadi ibu ketam yang berjalan senget?

Bukankah jika pemimpin yang tugasnya memimpin itu patuh 100 peratus kepada SOP dan peraturan, maka ia dengan sendiri akan mendorong rakyat untuk sama mematuhinya?

Dalam hal ini, sementara ramai yang didapati melanggar SOP dan cuba-cuba merentas negeri, sesetengahnya sengaja berbuat demikian sebagai tanda marah dan protes kepada pemimpin yang dilihat bebas berbuat dengan sewenang-wenangnya.

Lebih dahsyat, ramai pemimpin yang dipaparkan gambar dan video mereka tidak mematuhi SOP, namun masih tidak diambil sebarang tindakan, termasuk Mahiaddin sendiri yang dikesan tidak memakai pelitup muka dan beberapa menteri yang lain dengan pelbagai kesalahan masing-masing.

Sebahagian pemimpin yang lain dikatakan perlu perlu siasatan lanjut terlebih dahulu dengan mengambil masa yang lama serta ada pula diberi alasan harus mendapat kebenaran Pejabat Peguam Negara sebelum boleh diambil tindakan.

Semua ini membuatkan rakyat kecewa dan rasa tertindas kerana jika terkena kepada mereka, saman atau denda serta-merta terus dikeluarkan tanpa menunggu matahari tenggelam.

Jadi, siapa yang lebih bersalah – pemimpin atau rakyat?

Berkaitan hal yang sama, di sinilah pentingnya sebuah kerajaan lain yang benar-benar berwibawa dengan pemimpin yang sepenuhnya mampu memimpin harus mengambil alih pentadbiran negara ini.

Kalau #KerajaanGagal dan #KerajaanBodoh ini terus berkuasa lebih lama atau diberi peluang lagi selepas PRU akan datang, maka kegagalan dan keboodohan yang sama akan berpanjangan menyusahkan kita semua.

Kita akan sengaja menempah kegagalan dan membiarkan kebodohan berterusan melainkan kita harus segera menjadi lebih pandai dan tidak terus diperbodohkan. 


(ShahbudinHusin 31/05/2021)