MTUC sokong cadangan perkenalkan dasar gaji progresif

 




Cadangan dikemuka Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berhubung dasar gaji progresif baru-baru ini mendapat respons positif daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).



Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata pelaksanaan gaji progresif perlu menjadi kenyataan demi menjamin hak golongan pekerja yang sudah berusaha keras namun diberi gaji yang tidak setimpal.



Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan campur tangan dalam memastikan pelaksanaan kenaikan gaji tahunan, dan tidak membiarkan usaha itu ditentukan oleh kuasa pasaran.

"Dasar gaji minimum semasa tidak memerlukan majikan menaikkan gaji secara berkala, menyebabkan gaji sebilangan pekerja menjadi tidak stabil pada tahap gaji minimum walaupun selepas 25 tahun bekerja.



"Kerajaan perlu masuk campur berkaitan dengan kenaikan tahunan kerana kedegilan dan ketamakan syarikat yang menghalang peningkatan gaji.



"Kuasa pasaran tidak boleh menentukan harga buruh kerana pekerja mempunyai tanggungjawab pada keluarga dan masyarakat. Pekerja bukan mesin atau komoditi yang boleh didagangkan," katanya dalam satu kenyataan.



Semasa forum pada Selasa, Rafizi berkata dia akan membentangkan kertas dasar kepada kerajaan pada awal Ogos untuk model gaji progresif.



Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata adalah mustahil untuk kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup tanpa memastikan pertumbuhan gaji.

 

No comments: