Cadangan dikemuka Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berhubung
dasar gaji progresif baru-baru ini mendapat respons positif daripada Kongres
Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata pelaksanaan
gaji progresif perlu menjadi kenyataan demi menjamin hak golongan pekerja yang
sudah berusaha keras namun diberi gaji yang tidak setimpal.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan campur tangan dalam
memastikan pelaksanaan kenaikan gaji tahunan, dan tidak membiarkan usaha itu
ditentukan oleh kuasa pasaran.
"Dasar gaji minimum semasa tidak memerlukan majikan menaikkan
gaji secara berkala, menyebabkan gaji sebilangan pekerja menjadi tidak stabil
pada tahap gaji minimum walaupun selepas 25 tahun bekerja.
"Kerajaan perlu masuk campur berkaitan dengan kenaikan
tahunan kerana kedegilan dan ketamakan syarikat yang menghalang peningkatan
gaji.
"Kuasa pasaran tidak boleh menentukan harga buruh kerana
pekerja mempunyai tanggungjawab pada keluarga dan masyarakat. Pekerja bukan
mesin atau komoditi yang boleh didagangkan," katanya dalam satu kenyataan.
Semasa forum pada Selasa, Rafizi berkata dia akan membentangkan
kertas dasar kepada kerajaan pada awal Ogos untuk model gaji progresif.
Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata adalah mustahil untuk
kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup tanpa memastikan pertumbuhan gaji.