BENARKAH KERAJAAN ANWAR IBRAHIM TIDAK TERGUGAT JIKA PN MENANG CEMERLANG DALAM PRN?

 

Benarkah kemenangan PN di beberapa negeri pada PRN akan datang ini tidak menggugat kedudukan Anwar Ibrahim dalam menerajui kerajaan perpaduan?

Dalam hal ini, banyak pihak telah tampil dengan pandangan masing-masing, termasuk ada pemimpin UMNO yang menyatakan telah mendapat jaminan daripada GPS dan GRS, gabungan parti-parti di Sarawak dan Sabah bahawa mereka akan kekal bersama kerajaan perpaduan, biar apa pun keputusan PRN nanti.

Di pihak PH pula rata-rata menyebut keputusan PRN tidak mampu menjejaskan kerajaan perpaduan kerana ia hanya pilhan raya di peringkat Dun dan bukan Parlimen.

Begitu pun, di ketika ramai yang menyebut kekalahan PH/BN dalam PRN sama sekali tidak menjejaskan kedudukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat, jangan sesekali kita lupa bahawa kemenangan PN, jika benar mampu dicapai di empat atau lima negeri, paling penting ia akan memberi gandaan rangsangan semangat kepada mereka untuk lebih agresif mendepani PRU16 akan datang.

Tanpa memiliki Selangor khususnya pun PN sudah begitu agresif, bayangkan bagaimana keagresifan mereka jika setelah berjaya menawan negeri tersebut?

Di samping itu, jika keputusan buruk diterima UMNO pada PRN akan datang ini, ia juga boleh memungkinkan timbulnya desakan daripada dalam parti itu sendiri agar segera meninggalkan kerajaan bagi mengelakkan keputusan lebih buruk diterima BN pada PRU16 akan datang.

Akan wujud perkiraan bahawa lebih baik UMNO keluar sekarang daripada terus berada dalam kerajaan, tetapi hanya mampu menang kerusi yang lebih sedikit, mungkin 16 atau 6 kerusi saja lagi pada PRU16 akan datang berbanding 26 kerusi pada PRU15 lalu.

Berdayakah Zahid Hamidi menahan desakan itu jika pada PRN nanti UMNO kalah teruk atau tewas semua kerusi yang ditandinginya?

Tentulah lebih buruk keadaannya jika setelah UMNO meninggalkan kerajaan yang disebabkan desakan akar umbi demi untuk survival pada PRU16 itu, ia diikuti pula oleh GPS dan juga GRS yang turut berbuat demikian.

Meski setakat ini GPS dan GRS dilaporkan memberi jaminan akan kekal menyokong kerajaan, namun sebagaimana orang politik, janji parti politik juga bukanlah boleh dipegang sangat.

Selain UMNO boleh dipaksa melalui desakan akar umbi untuk meninggalkan kerajaan jika keputusan buruk dicapai pada PRN, langkah lain yang mungkin berlaku ialah penentang-penentang Zahid Hamidi akan berpakat dengan PN dan kemudian memujuk GPS serta GRS untuk menolak kelulusan Belanjawan 2024 pada hujung tahun ini.

Pokoknya, selepas 12 Ogos nanti macam-macam boleh jadi dan tiada apa yang mustahil daripada terjadi.

Jadi, jangan mudah-mudah membuat kesimpulan bahawa keputusan PRN nanti tidak memberi kesan kepada kedudukan kerajaan perpaduan.

Untuk itu, PH dan BN tidak harus memandang mudah dan mesti menggunakan segala sumber serta kekuatan yang ada bagi menghadapi PRN enam negeri yang tarikh mengundinya tidak sampai sebulan dari sekarang.

Jika berjaya mengekalkan status quo iaitu PH/BN kekal menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, itu dikira sudah cukup baik dan merupakan keputusan minima yang boleh menyelamatkan masa depan.

Tetapi, dengan berjaya mengekalkan status quo, namun kalah di semua kerusi majoriti Melayu di ketiga-tiga negeri tersebut, keadaan itu sebaliknya boleh bertukar menjadi ancaman kepada PH/BN menjelang PRU16 akan datang.

Di samping keputusan itu meletakkan kerajaan yang dibentuk nanti tidak stabil dan menjadikan PN lebih galak dengan memainkan sentimen Melayu, UMNO yang merupakan sebahagian komponen dalam kerajaan perpaduan sudah tentu paling tertekan sekali dengan keputusan tersebut.

Pasti akan sentiasa timbul gegaran menekan Zahid Hamidi dan meminta UMNO segera berpisah daripada kerajaan.

Paling selamat buat PH/BN hanyalah kalau berjaya mengekalkan tiga negeri yang sedang dikuasainya sekarang serta dapat pula merampas satu atau dua negeri lain yang sedang ditadbir PN ketika ini.

Memandang sekeliling, mampukah perkara itu dijadikan kenyataan oleh PH/BN? – ShahbudinHusin 14/07/2023.




No comments: