Malaysia tidak pernah lari
daripada sejarah kepimpinan anak muda. Sejak dari era pembebasan ketika
dijajah, kita diperkenalkan dengan figura seperti Almarhum Ahmad Boestamam,
Kesatuan Melayu Muda, Almarhumah Shamsiah Fakeh yang mula berpolitik seawal
usia 23 tahun bersama Partai Kebangsaan Melayu Malaya. Ibrahim Yaakob, Ishak
Haji Muhammad. Bahkan umur Tun Sambathan juga ketika itu masih di awal 30 an
ketika mula mengetuai diskusi menuju kemerdekaan.
Nah, ini membuktikan
bahawasanya anak muda Malaysia yang tulen memang tidak asing lagi dalam merebut
tampuk kepimpinan negara dahulu. Bahkan parti- parti tradisional seperti UMNO
dan PAS telahpun berani untuk meneruskan tradisi mengangkat kepimpinan muda.
Lihat sahaja susur galur mantan
perdana menteri Malaysia yang keenam. Mula berkecimpung dalam politik sebagai
ahli parlimen Pekan pada usia 23 tahun. Beliau memimpin sebagai Menteri Besar
Pahang dan berada di dalam kabinet bahkan sebelum usia 30 tahun. Ini semua
membuktikan isu kepimpinan muda ini bukanlah isu baharu tetapi hakikatnya topik
yang taboo.
Tak kurang juga dengan
figura-figura aktivis kemasyarakatan dan gerakan islam yang lantang menyuarakan
isu-isu rakyat. Dari kerusi guru Yayasan Anda, presiden Angkatan Belia Islam
Malaysia, mengetuai demonstrasi Baling sehinggalah kini di kerusi Ketua
Pembangkang di Dewan Rakyat. Tempat dan tugas yang berubah-ubah, namun mesej
yang dibawa tetap tuntas dan jelas.
Justeru, ini membawa kita
kepada satu persoalan wajar. Berapa ramai anak muda yang lahir dari rahim
persatuan pelajar dan aktif di universiti yang akhirnya memanjat di tangga
politik? ramai! Tetapi soalnya berapa ramai yang membuka ruang untuk generasi
seterusnya tampil menggantikan mereka di tampuk kuasa? Entah berapa lapisan
generasi mantan aktivis pelajar, aktivis masyarakat dan golongan profesional
muda yang berbakat dan akhirnya melebam di peringkat bawah kerana ruang di atas
tidak dikosongkan.
Malaysia sebenarnya masih lagi
tersepit dalam kerangka ideologi politik kepartian. Kepimpinan yang terlampir
pada figura, bendera atau dana. Sedangkan revolusi politik yang diketuai anak
muda adalah berteraskan idea dan jana-daya. Politik yang menggerakkan dan
merubah nilai-nilai norma yang bukan sahaja dibawa oleh orang tua, bahkan jua
anak muda yang telah tercemar dek kerakusan kuasa. Politik anak muda sepatutnya
menongkah sistem lapuk dan penindasan, bukan sekadar reaksi atau sebuah
pergerakan populis yang tidak pasti arah tujuan.
Dalam era politik dipenuhi
dengan zombi-zombi reformasi, yang menyarung ideologi reformasi selama dua
dekad, tetapi membelakangi mandat rakyat. Bertahun-tahun menjadi pendekar adab,
bersyarah buku Sheikh Al Musnid Syed Naquib Al Attas, tetapi akhirnya terjunam
dalam kegelapan surat sokongan.
Mungkin sahaja mempunyai
platform segar boleh jadi ruang dalam mencungkil bakat-bakat kepimpinan baharu.
Tetapi untuk menyatakan ini idea yang dapat membebaskan Malaysia daripada
kebejatan politik orang tua. Itu falasi yang perlu dibetulkan. Kepimpinan
mereka yang berusia muda sudah bertapak di watan ini jauh lebih lama. Ada yang
memerdekakan. Ada yang telahpun terbukti di mahkamah sebagai kleptokrat.
Pemimpin datang dan pergi.
Figura muda bakal berusia lambat laun. Parti majoriti tidak mustahil menjadi
minoriti. Tetapi ideologi adalah nilai yang akan menjadi navigasi moral dan
komitmen dalam melahirkan polisi. Yang perlu diutamakan adalah apa yang dibawa
dan apa yang akan ditawarkan.
Moga-moga anak muda Malaysia
akan terus menegakkan panji-panji kebenaran dan keadilan sosial di manapun
mereka memilih untuk menyerahkan budi. Masyarakat tidak punya banyak ruang dan
kotak ekonomi yang mesra marhaen. Kesenjangan, kemiskinan, pendidikan, wajib
menjadi obor perjuangan semua anak muda yang mahu bebas untuk berkuasa.
Selamat Menjiwai Kebebasan Anak
Muda!
‘Atiqah Syairah Shaharuddin
Ketua Srikandi KEADILAN Tanjong
Karang