Bebas dan Muda : Satu Refleksi Wajah Malaysia




Malaysia tidak pernah lari daripada sejarah kepimpinan anak muda. Sejak dari era pembebasan ketika dijajah, kita diperkenalkan dengan figura seperti Almarhum Ahmad Boestamam, Kesatuan Melayu Muda, Almarhumah Shamsiah Fakeh yang mula berpolitik seawal usia 23 tahun bersama Partai Kebangsaan Melayu Malaya. Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad. Bahkan umur Tun Sambathan juga ketika itu masih di awal 30 an ketika mula mengetuai diskusi menuju kemerdekaan.

Nah, ini membuktikan bahawasanya anak muda Malaysia yang tulen memang tidak asing lagi dalam merebut tampuk kepimpinan negara dahulu. Bahkan parti- parti tradisional seperti UMNO dan PAS telahpun berani untuk meneruskan tradisi mengangkat kepimpinan muda.

Lihat sahaja susur galur mantan perdana menteri Malaysia yang keenam. Mula berkecimpung dalam politik sebagai ahli parlimen Pekan pada usia 23 tahun. Beliau memimpin sebagai Menteri Besar Pahang dan berada di dalam kabinet bahkan sebelum usia 30 tahun. Ini semua membuktikan isu kepimpinan muda ini bukanlah isu baharu tetapi hakikatnya topik yang taboo.

Tak kurang juga dengan figura-figura aktivis kemasyarakatan dan gerakan islam yang lantang menyuarakan isu-isu rakyat. Dari kerusi guru Yayasan Anda, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, mengetuai demonstrasi Baling sehinggalah kini di kerusi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Tempat dan tugas yang berubah-ubah, namun mesej yang dibawa tetap tuntas dan jelas.

Justeru, ini membawa kita kepada satu persoalan wajar. Berapa ramai anak muda yang lahir dari rahim persatuan pelajar dan aktif di universiti yang akhirnya memanjat di tangga politik? ramai! Tetapi soalnya berapa ramai yang membuka ruang untuk generasi seterusnya tampil menggantikan mereka di tampuk kuasa? Entah berapa lapisan generasi mantan aktivis pelajar, aktivis masyarakat dan golongan profesional muda yang berbakat dan akhirnya melebam di peringkat bawah kerana ruang di atas tidak dikosongkan.

Malaysia sebenarnya masih lagi tersepit dalam kerangka ideologi politik kepartian. Kepimpinan yang terlampir pada figura, bendera atau dana. Sedangkan revolusi politik yang diketuai anak muda adalah berteraskan idea dan jana-daya. Politik yang menggerakkan dan merubah nilai-nilai norma yang bukan sahaja dibawa oleh orang tua, bahkan jua anak muda yang telah tercemar dek kerakusan kuasa. Politik anak muda sepatutnya menongkah sistem lapuk dan penindasan, bukan sekadar reaksi atau sebuah pergerakan populis yang tidak pasti arah tujuan.

Dalam era politik dipenuhi dengan zombi-zombi reformasi, yang menyarung ideologi reformasi selama dua dekad, tetapi membelakangi mandat rakyat. Bertahun-tahun menjadi pendekar adab, bersyarah buku Sheikh Al Musnid Syed Naquib Al Attas, tetapi akhirnya terjunam dalam kegelapan surat sokongan.

Mungkin sahaja mempunyai platform segar boleh jadi ruang dalam mencungkil bakat-bakat kepimpinan baharu. Tetapi untuk menyatakan ini idea yang dapat membebaskan Malaysia daripada kebejatan politik orang tua. Itu falasi yang perlu dibetulkan. Kepimpinan mereka yang berusia muda sudah bertapak di watan ini jauh lebih lama. Ada yang memerdekakan. Ada yang telahpun terbukti di mahkamah sebagai kleptokrat.

Pemimpin datang dan pergi. Figura muda bakal berusia lambat laun. Parti majoriti tidak mustahil menjadi minoriti. Tetapi ideologi adalah nilai yang akan menjadi navigasi moral dan komitmen dalam melahirkan polisi. Yang perlu diutamakan adalah apa yang dibawa dan apa yang akan ditawarkan.

Moga-moga anak muda Malaysia akan terus menegakkan panji-panji kebenaran dan keadilan sosial di manapun mereka memilih untuk menyerahkan budi. Masyarakat tidak punya banyak ruang dan kotak ekonomi yang mesra marhaen. Kesenjangan, kemiskinan, pendidikan, wajib menjadi obor perjuangan semua anak muda yang mahu bebas untuk berkuasa.

Selamat Menjiwai Kebebasan Anak Muda!


‘Atiqah Syairah Shaharuddin
Ketua Srikandi KEADILAN Tanjong Karang