Walaupun surat fitnah dan bohong Hadi Awang kepada pemimpin-pemimpin gerakan Islam dunia ditulis dan dihantarnya sebelum beliau dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri, tetapi ia hanya terdedah kepada umum selepas perlantikannya yang berkuatkuasa 1 April lalu.
Ini bermakna, tidak dapat dielakkan ada hubungan kait antara surat yang ditulis Hadi Awang itu dengan jawatan yang baru diperolehinya.
Tidak mustahil juga, tersebarnya surat tersebut adalah dengan tujuan agar Presiden Pas itu benar-benar bertanggungjawab dan berani mempertahankan apa yang ditulisnya itu setelah diberikan jawatan bertaraf menteri itu.
Tetapi, meskipun sudah beberapa hari isu surat itu diperkatakan umum dan ada pemimpin Pas sendiri telah mengakui memang Hadi Awang yang menulisnya, tetapi beliau masih lagi membisu dan berdiam diri.
Kenapakah Hadi masih enggan menampilkan dirinya?
Kalau beliau yakin berdiri atas kebenaran dan apa yang yang ditulisnya adalah sesuatu yang benar, mengapa perlu takut dan bersembunyi?
Sikap yang ditunjukkan Hadi Awang ini hanya menyerlahkan tanggapan umum bahawa beliau tiada kekuatan untuk mempertahankan secara terbuka kebenaran kandungan suratnya itu.
Jika begitu, apa tujuan Hadi menulis fakta tidak benar, bohong dan fitnah kepada pemimpin-pemimpin gerakan Islam di Timur Tengah dalam suratnya itu?
Bukan saja sebagai pemimpin politik, lebih-lebih lagi dengan jawatan duta bertaraf menteri yang disandangnya sekarang, Hadi Awang tidak boleh lari daripada masalah atau cabaran yang ada di depannya.
Beliau mesti berani berdepan realiti dan menampakkan dirinya sebagai orang barisan hadapan yang tidak takut dengan cabaran kerana itulah antara peranan seorang duta khas, lebih-lebih lagi yang diberikan taraf menteri meskipun memburukkan pembangkang sendiri kepada pihak luar bukanlah sikap yang manis yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang yang bergelar duta.
Munculnya surat beliau kepada pemimpin gerakan Islam itu ibarat ujian pertama atas perlantikannya sebagai Duta Khas bertaraf menteri yang pertama dalam kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional atau PN.
Malangnya, dengan Hadi Awang masih berdiam dan takut mempertahankan isi kandungan surat tersebut setakat ini, beliau jelas telah gagal dalam ujian atau tugas pertama ini.
Sepatutnya, selepas dilantik sebagai Duta Khas bertaraf menteri, beliau lebih berani dan garang mempertahankan suratnya itu sepertimana garangnya beliau memfatwakan “Amanat Hadi Awang” di Banggol Perasong, Terengganu pada tahun 1981 sebelum ini.
Tentulah bukan harapan Muhyiddin Yassin untuk melihat beliau menjadi takut dan bisu dengan ujian atau cabaran pertama yang dihadapinya.
Muhyiddin tentu mengharapkan Hadi Awang tampil dengan keberanian mempertahankan kandungan surat itu kerana ia secara tidak langsung juga mempertahankan PN dan dirinya sebagai Perdana Menteri.
Jika Hadi Awang ada keberanian, tentulah keyakinan Muhyiddin lebih tinggi terhadap kemampuan Duta Khas lantikannya itu untuk berdepan cabaran atau masalah lain yang lebih besar lagi selepas ini.
Tetapi, selagi Hadi Awang masih berdiam diri dan gagal mempertahankan suratnya itu, bererti tipis jugalah harapan Perdana Menteri untuk bergantung harap kepada Duta Khas yang diberikan taraf menteri ini untuk menaikkan nama dan kerajaannya di Timur Tengah.
Iyalah, kalah untuk mempertahankan diri dan surat sendiri pun Hadi Awang tidak mampu, apalah yang Muhyiddin boleh harapkan untuk beliau dapat berbuat lebih daripada itu untuk dirinya, meskipun sudah diberikan jawatan bertaraf menteri dengan pelbagai kemudahan disertai gaji serta elaun puluhan ribu setiap bulan.
(ShahbudinHusin 08/04/2020)