Ada rakan minta saya re-post artikel ini.
Kenapa Malaysia akan tetap berada sebagai negara dunia ketiga.
Semasa berkelana di luar negara saya kerap terfikir mengenai perbezaan negara dunia pertama dan dunia ketiga.
Mengapa setengah negara lebih maju dan kaya dari yang lain?
Adakah kerana tamadun mereka yang lebih awal?
Kalau begitu kenapa India dan Mesir yang mempunyai tamadun berusia 2000 tahun masih negara miskin walhal Canada, Australia dan New Zealand yang baru berusia 150 tahun lebih maju?
Adakah kerana hasil bumi (natural resources)?
73% kawasan Jepun adalah pergunungan dan tidak sesuai untuk pertanian tetapi Jepun mempunyai ranking ekonomi kedua terkuat dalam dunia.
Switzerland mempunyai 70% pergunungan dan keluasannya hanya 17% berbanding UK tetapi ranking ekonominya teratas berbanding 45 negara di Eropah.
Adakah kerana kebijaksanaan warna kulit dan agama?
Semasa belajar di UK dahulu saya perhatikan kepandaian seseorang tidak bergantung pada warna kulit atau agama.
Pelajar dari Iraq, Iran, Saudi, Zambia, India atau Malaysia lebih pandai dari pelajar dari UK, US, Germany, Denmark, Switzerland atau Italy dan begitu juga sebaliknya.
Warna kulit atau agama tidak dapat membezakan dari segi kebijaksanaan sesuatu bangsa.
Apabila melawat New Zealand sangatlah saya kagum akan kebersihan alam sekitar di sana, dengan sungai dan tasik yang bersih tidak dicemari.
Apa yang terjadi pada tasik legenda kita sangatlah meruntun jiwa.
Di British Columbia Canada saya saksikan kehijauan beribu ekar hutan pokok spruce yang ditanam semula kerana mereka mengamalkan ‘sustainable forest management’ di mana industri perhutanan menyumbangkan sebahagian besar kepada ekonomi Canada.
Lihatlah bukit-bukit di negeri Pasir Berdengung yang togel dikerjakan oleh pembalak.
Apabila hujan, larutan tanah menyebabkan sungai menjadi merah dan keruh.
Apakah faktor menyebabkan negara-negara dunia ketiga ketinggalan belakang dari negara dunia pertama?
Ianya adalah attitude (sikap) penduduk negara yang tidak maju.
Penduduk negara maju mempunyai attitude (sikap) seperti etika yang tinggi, berintegriti, bertanggung-jawab, menghormati keluhuran undang-undang, suka bekerja dan tidak pemalas, berketepatan masa, produktiviti tinggi, mempunyai tahap pelajaran yang cemerlang, antara lain.
Itu semua adalah nilai-nilai islam universal yang perlu kita ada untuk maju.
Selagi ada ramai penduduk masih percaya pelajaran agama sahaja sudah mencukupi untuk hidup di dunia dan meninggalkan terus pelajaran sains dan teknologi, maka akan tetaplah negara menjadi negara dunia ketiga.
Selagi ada penduduk yang tiada kesedaran sivik, pemalas, pengotor, membuang sampah merata, tidak tahu flush toilet dan tidak tahu menghormati masa, maka kita akan terus ketinggalan belakang.
Selagi kita masih hantar anak-anak belajar di negara dunia ketiga yang jumud dan tidak ke negara dunia pertama yang maju, maka mereka apabila pulang nanti tetap memiliki mentaliti kelas ketiga.
Selagi kita mengamalkan politik rasuah kleptokrat dan patronage, tidak ada integriti dan menunggang agama, maka jangan haraplah kita akan menjadi negara dunia pertama.
Semoga generasi yang akan datang dapat merubah nasib bangsa dan negara, di mana semuanya perlu bermula sekarang, dari ajaran serta penerapan disiplin dan etika yang baik kepada anak-anak dari ibu bapa yang prihatin.
Jika ada orang bertanya, adakah Malaysia akan jadi ‘First World Country’ nanti?
Dengan senario politik sekarang, jawapan peribadi saya ialah,
‘Not in my lifetime’.
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
FB: Zainuddin Omar
* memerhatikan laut bergelora di Drake Passage semasa ke Antarctica.