SUDAH MERATA J-KOM DILABEL GAGAL, MENGAPA DR AGUS MASIH ENGGAN LETAK JAWATAN?


Di Parlimen semalam, beberapa Ahli Parlimen bersuara mengenai kegagalan J-Kom serta mahu agensi itu segera dibubarkan.


Kata mereka, dengan pelbagai isu yang ada dalam negara, daripada kenaikan harga barang hingga konflik di Palestin, J-Kom terbukti gagal memainkan peranannya dengan berkesan.


Dengan itu, kata mereka, baik dibubarkan saja agensi tersebut, setidak-tidaknya wang rakyat dapat dijimatkan.


Sebenarnya, sebelum hal J-Kom ini dibangkitkan di Parlimen lagi, isu kegagalan agensi yang diterajui Prof Dr Agus Yusof itu sudah lama menjadi bualan serta luahan tidak puas hati di kalangan penyokong-penyokong kerajaan.


Hampir tidak ada yang mengatakan J-Kom adalah agensi yang berjaya dan telah berperanan dengan sewajarnya di bawah kendalian Prof Dr Agus.


Rata-rata melihat Prof Dr Agus sebagai penerajui yang gagal dalam mengemudi J-Kom, selain beliau juga dilihat memiliki jiwa yang tak kental dan mudah koyak apabila berdepan duri-duri rintangan.


Malah, mereka yang dekat dengan Perdana Menteri sendiri, semua yang saya pernah bertemu dan ada bercakap dengan mereka, terang-terang meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi Prof Dr Agus.


Ada di antara mereka bahkan sudah “malas” untuk bercakap lagi mengenai J-Kom apabila disuakan lebih banyak soalan Prof Dr Agus.


Tidak dapat tidak, kegagalan J-Kom yang sepatutnya menjadi antara suara paling ke depan dalam menjelaskan isu-isu serta dasar kerajaan kepada rakyat, adalah berpunca daripada Prof Dr Agus selaku Ketua Pengarahnya.


Kalau kementerian gagal disebabkan menterinya gagal dan jika negara gagal kerana Perdana Menterinya gagal, maka J-Kom gagal tentulah kerana kegagalan Ketua Pengarahnya.


Tidak ada individu lain yang boleh disalahkan di sebalik kegagalan J-Kom.


Dengan itu, J-Kom tidak harus dibubarkan, cuma penerajunya saja mesti diganti segera.


Dalam hal ini, sesuai dengan suara gagal yang sudah merata itu, dua tindakan yang sepatutnya diambil ialah;-


Pertama, Anwar Ibrahim segera menamatkan kontrak Prof Dr Agus dan meletakkan orang lain sebagai penggantinya.


Kedua, Prof Dr Agus sendiri secara sukarela mengundurkan diri bagi memberi peluang kepada Perdana Menteri memilih orang lain mengambil alih tempatnya.


Dalam perbualan dengan mereka yang dekat dengan Anwar, mereka berkata, Perdana Menteri adalah manusia yang agak susah untuk memberhentikan orang yang sudah dilantiknya kerana beliau adalah seorang yang mengambil kira banyak faktor sebelum mahu berbuat demikian, kecuali jika sudah benar-benar tiada pilihan lain lagi.


Kadang-kadang juga, tambah mereka, Anwar lebih sanggup menelan sendiri kegagalan itu daripada dilihat bersikap menganiaya atau menyusahkan orang berkaitan.


Di sinilah kadangkala kebaikan hati Anwar mudah diambil kesempatan.


Pun begitu, oleh kerana gagalnya J-Kom ini memberi kesan langsung kepada kerajaan, negara dan Anwar sendiri selaku Perdana Menteri, membiarkan saja Prof Dr Agus terus berada di agensi itu dengan kegagalannya adalah juga pilihan yang tidak bijaksana.


Cuma, yang agak menghairankan sebagai seorang yang berpendidikan, jika menyedari dirinya tidak mampu berfungsi, malah dicemuh merata, mengapakah Prof Dr Agus masih tidak mahu mengundurkan diri?


Untuk apa lagi beliau mahu terus berada di J-Kom jika tiada apa-apa yang mampu dibuatnya untuk kerajaan dan negara?


Tidakkah meletak jawatan lebih awal sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan yang ada jauh lebih mulia supaya dengannya dapat memudahkan Anwar melantik orang lain mengisi jawatannya itu, malah tidak berterusan membebankan Perdana Menteri?


Atau Prof Dr Agus mahu menunggu sehingga tempoh kontrak dua tahunnya berakhir baru mahu melangkah pergi?


Matilah madani macam ni…- ShahbudinHusin 07/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/07/sudah-merata-j-kom-dianggap-gagal-mengapa-dr-agus-masih-enggan-letak-jawatan.html



No comments: