KISAH GAJAH DAN HARI IBU



 “Dari Gelap Sampai Terang, Dia Masih Menunggu”


Anak Gajah Maut Dilanggar Lori, Ibu Setia Menjaga Jasad


Grik, Perak. Dalam pekat malam yang sunyi, sebuah lori terhenti di tepi jalan. Di hadapannya, seekor anak gajah terbaring kaku, tidak bernyawa. Tapi yang lebih menyentuh hati bukan sekadar jasad kecil itu… tapi ibu gajah yang berdiri di sisinya, tidak berganjak, tidak beralih.


Rakaman yang tular di media sosial memperlihatkan situasi memilukan itu. Seekor ibu gajah menunggu anaknya yang sudah tiada, dari gelap malam hingga terbit fajar. Ramai netizen menonton dalam diam, tak mampu menulis apa-apa. Hanya dada yang sesak, mata yang bergenang.


Dia tahu anaknya sudah pergi. Tapi dia tetap tunggu.


Bukan kerana dia tak faham realiti.


Tapi sebab hati seorang ibu sentiasa percaya pada keajaiban. Mungkin anaknya akan bangun semula, walau tahu dunia tak akan kembalikan apa yang telah dirampas.


Kejadian ini berlaku berdekatan kawasan hutan simpan di Grik, Perak. Satu daripada banyak lagi laluan yang semakin kerap jadi saksi pertindihan antara pembangunan manusia dan habitat semula jadi haiwan liar.


Mungkin pada sesetengah orang, ini hanya tragedi biasa. Tapi pada yang peka, ia adalah panggilan. Untuk kita berhenti sejenak dan tanya, apa lagi yang kita perlu musnahkan sebelum kita mula belajar simpati?


Pada tarikh yang ironi, Hari Ibu, alam tunjukkan satu bentuk kasih paling tulus: seekor ibu gajah, berdiri diam di sisi anaknya yang sudah tiada, kerana hatinya belum sanggup melepaskan. 😭



No comments: