RAMADHAN BELUM MAMPU SEMAI KASIH SAYANG SESAMA MUSLIM



 Ini bukan lagi soal definisi istilah agama. Bukan soal maksud bahasa Arab dan bukan juga soal asbabunnuzul. Ini adalah soal MOTIF. Apa motif video tersebut disebar, diberikan kapsyen yang meruntun emosi dan dipetik lari dari konteks? Tidak lain dan tidak bukan untuk mengukuhkan tuduhan dan tanggapan 'pre-existing' bahawa kumpulan yang menjadi kerajaan hari ini terdiri daripada mereka yang "kurang Islam" dan menganut fahaman liberal-plural. Ia adalah kelangsungan daripada naratif "holier than thou" yang disemai selama ini. 


Melihat dan mendengar video ucapan YBM Fadhlina memberikan gambaran jelas berserta konteksnya. Apa konteksnya? Beliau menyatakan kekesalan terhadap penularan istilah 'kafir' yang digunakan sewenang-wenangnya sampai ke sekolah, sehingga seseorang yang bekerja dengan majikan orang bukan Islam pun dipandang serong. Yang menyebutnya pula adalah anak-anaknya sendiri, itulah yang menjadi punca kemarahan YBM Fadhlina. Yang diharamkan itu menurut konteks dan sebutannya sendiri dalam video tersebut adalah atas maslahah kenegaraan, Fiqh Muwatanah, seperti yang dilontarkan oleh Syeikh Yusuf Qaradawi dan disambung bicaranya oleh bapa YBM sendiri, Dr. Siddiq Fadzil. Tidak sesekali dalam ucapannya ada menyebut, "saya larang anak-anak baca surah al-Kafirun di rumah saya!" 


Menteri ini dilahirkan oleh seorang pemikir Islam yang tersohor di Malaysia, dan Menteri ini kemudian melahirkan  pula seorang 'Hafizah' dalam keluarganya. Saya yakin dengan pegangan, iman dan aqidah beliau, hatta sebelum bertabayyun dengan mendengar videonya itu. 


Sangat menyedihkan untuk menyaksikan bahawa kumpulan yang menyebar fitnah kebencian, pada bulan Ramadan ini, terdiri daripada mereka yang kononnya menjadi pejuang dan pembela Islam. Mereka bukan pembela Islam, malah pembelit Islam. Membelit persepsi demi keuntungan politik dan memuaskan nafsu kebencian. Kalaulah ada sekelumit kasih sayang antara Muslim seaqidah, tidakkah kalian akan bertenang sebentar, mencari video dan memahaminya dengan jujur? Sesungguhnya tidak. Kalian tidak diajar dengan rahmah agama ini tetapi sudah diindoktrinasi dengan tohmah oleh pertubuhan yang disertai sehingga ia menjadi suatu anutan kepercayaan. Kalian bukan tidak baik, kalian cuma tidak memerintah. 


Ramadan 2024 belum mampu menyemai kasih sayang dan kemaafan sesama Muslim dan manusia di Malaysia. Bukan kerana agama tetapi kerana segelintir "agamawan."


#shmkritiksosial


-Sahul HM-