INFLASI MEREDA TANDA KERAJAAN BERJAYA TANGANI KOS SARA HIDUP




Kos sara hidup menjadi kebimbangan rakyat sejak setahun lalu telah cuba diselesaikan sedaya upaya oleh Kerajaan Madani.

Bagi Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, kos sara hidup tinggi pada waktu ini turut berpunca daripada faktor antarabangsa yang berada di luar kawalan kerajaan Malaysia.

“Jangan silap (dalam hal kos sara hidup) semua negara dalam dunia bergantung kepada faktor sekeliling, isu global sebagai contoh pandemik Covid 19 juga perang Ukraine – Rusia. Sebelum itu perang dagang Amerika Syarikat – China

“Ini semua faktor menentukan kekuatan ekonomi, ringgit yang dibandingkan dengan matawang AS pasti ada kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam forum “Menangani Kos Sara Hidup Meningkatkan Kemakmuran Rakyat” anjuran Media Perpaduan, malam tadi.

Salahuddin turut mengambil contoh kehidupan seharian manusia, seperti seseorang bercinta, berkahwin dan kemudian menghadapi kerenah anak anak yang tidak selesai, demikianlah katanya, kos sara hidup berterusan walau siapa pun sebagai kerajaan.

Cuma kata beliau, kerajaan yang baik akan cuba sedaya upaya untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam menghadapi kos berkenaan.

“Tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk menyelesaikan secara pentadbiran isu yang berkaitan ekonomi dengan tidak menyalahkan kerajaan dahulu

“Nak bercakap ekonomi makro itu mungkin lambat. Apa yang kita buat waktu ini selesai isu perut rakyat. Kita datang dengan pemberian tunai Rahmah. Sekarang ada eBelia Rahmah, ada pakej haji Rahmah.

“Ada insurans Rahmah, sebelum itu pakej Payung Rahmah. Ini ekonomi mikro yang perlu diselesaikan, ini yang rakyat nak dengar.

“Apa yang penting Malaysia Madani telah datang untuk selesaikan isu jangka pendek. Jangka panjang Kementerian Ekonomi dan Kewangan akan mengambil peranan,” katanya.

Tegas Salahuddin, walaupun dikritik kononnya pakej Rahmah hanya memberi impak kecil namun katanya daripada data yang diperolehi, penjimatan wang rakyat skala kecil itu telah meredakan inflasi dan hal itu menunjukkan KPDN telah berjaya.

“Pakej Rahmah ini walaupun kelihatan kecil tetapi dari segi datanya dapat menyederhanakan inflasi. Sebagai contoh kalau tahun lepas inflasi sekitar 3.2% bulan Mei lalu turun 2.8%.

“Dia mereda. Apa sumbangannya? Pakar ekonomi menyatakan ada sedikit sumbangan inisiatif Rahmah. Contoh inflasi makanan bermasak, ada penjimatan rakyat ada di situ,” katanya lagi.