PKR akan diundi jika dilihat selesai masalah anak muda
Mengadapi Undi 18 dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sesuatu yang amat mencabar.
Bagi aktivis politik dan ikon anak muda Adam Adli, cabaran yang menanti parti politik ialah untuk menarik undi generasi berumur 18 hingga 21 tahun yang dijangka jumlahnya sekitar 1.2 juta orang.
Lebih menyukarkan, generasi itu dinilai tidak minat berpolitik dan tidak faham untuk menentukan masa hadapan negara.
“Orang akan cakap takkan budak umur 18 boleh cakap pasal politik. Tetapi apa yang perlu dilakukan ialah kita perlu sediakan sesuatu yang boleh dinikmati untuk orang muda. Misalnya biasiswa tak banyak, parti politik kena fikirkanlah, kalau jadi kerajaan apa dasar untuk memastikan anak anak ini dapat teruskan belajar, kalau dapat kerja apa yang perlu, gaji minimm dan sebagainya.
“Satu lagi, generasi ini lahir dengan internet, media sosial. Tak betul kalau mereka tidak ada pandangan politik. Mereka tahu dunia di luar mencabar dan mereka mencari siapa yang dapat ‘mengadilkan’ dunia bagi mereka.
“Mereka juga tengok parti politik tidak boleh selesaikan masalah mereka maka mereka selesai masalah sendiri. Itu yang hasil, apabila dibuat tinjauan pendapat mendapati mereka ini tidak minat kepada politik,” katanya dalam forum terbitan Studio Keadilan, malam tadi.
Menurut Adam lagi, parti politik khususnya KEADILAN perlu faham bagaimana untuk menarik minat golongan Undi 18 menyokong mereka dan strateginya tidak sama dengan golongan undi 21 sebelum ini.
Tambah Adam, Undi 18 adalah golongan yang masih belajar dan kebanyakannya belum bekerja. Jadi pandangan politik mereka berbeza.
“Golongan ini cara fikirannya tidak begitu sama dengan orang muda sebelum ini. Orang muda 21 tahun biasanya telah habis belajar. Masuk alam pekerjaan.
“Atau habis sekolah mereka kerja maka tahu gaji tak naik dan sebagainya. Jadi pandangan politik mereka mula terbentuk.
“Secara kasar saya tak nampak ini sebagai faktor umur, tetapi generasi. Mereka ini lahir dalam suasana yang mencabar. Kalau dulu generasi lepas perang misalnya bangkit bangunkan balik dunia. Sekarang ini generasi yang keluar sekolah dan masuk alam kerja tetapi dia lihat ini bukan sebagaimana dibayangkan di sekolah. Dia akan mendapati ada yang tak kena. Dia bukan sahaja tengok politik tetapi kepada semua isu terkait dalam kehidupan mereka.
Mengheret mereka masuk ke dalam poliik tentulah cabaran yang sangat besar. Bukan soal pengundi 18 – 20 tahun tidak sedia berpolitik tetapi pada saya parti politik yang tidak sedia dengan mereka,” katanya.
Namun Adam tidak bersetuju terhadap pendapat yang mengatakan untuk menghadapi PRU 15 akan sangat sukar, terutama melibatkan Undi 18.
Katanya, terdapat beberapa strategi yang perlu diperbetulkan dalam kalangan PH kerana di sebelah pihak musuh keadaannya masih tidak banyak berubah dan masih ada pemain politik yang sama.
“Musuh kita (BN – PN) pemimpinnya masih sama, peremajaannya tidak begitu berjaya. Pemimpin yang mengakibatkan kerosakannya masih ada. Kita nak berhentikan orang ini, melawan kebobrokan.
“Tetapi kita juga perlu buat tawaran yang lebih besar (kepada generasi muda). Ini generasi yang sangat kaya naratif,” katanya lagi.