Idealisme anak-anak muda serantau, sama ada di Indonesia mahu pun
Malaysia perlu kental menghadapi perubahan dan kebobrokan zaman.
Hal itu ditegaskan lewat pidato Presiden KEADILAN, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Forum Persahabatan Malaysia - Indonesia
yang dianjurkan Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (Pepiat), semalam.
Katanya, generasi muda yang merdeka fizikal hari ini perlu
menguatkan mental mereka untuk bangkit sebagai manusia yang berprinsip dan
idealis.
"Wajar ditekankan waktu menuntut tindakan yang berbeza.
Tetapi semua bicara tentang idealisme. Bicara soal kemerdekaan jiwa, bukan
sahaja fizikal
"Anak muda itu diharapkan bukan usianya tetapi idealismenya,
semangat yang kental kepada keinginan membawa perubahan.
"Kita ini warisan penjajah, ramai kepimpinan kita itu sikapnya
seperti penjajah. Menindas, merompak, memunggah khazanah dan kekayaan negara.
Jadi hal ini patut dielak dan dibatalkan.
"Penjajah itu berjaya menguasai pemikiran dan jiwa kita. Oleh
yang demikian, usaha anak muda untuk tampil memimpin mesti dipersiapkan dengan
sarat ilmu dan juga akhlak," katanya dalam sidang maya tersebut yang
bertajuk "Perpaduan Teras Kebangkitan Nusantara".
Dalam pidato itu Anwar menekankan betapa pentingnya ilmu dan
intergriti membina sahsiah kepimpinan generasi muda.
Katanya, generasi muda wajar meneruskan kepimpinan pelajar
terdahulu tetapi dengan mengambil persekitaran semasa dan keresahan rakyat hari
ini sebagai inti teras perjuangan.
"Bagi kita contohi Rasullulah kerana selain akidah, adalah
akhlaknya. Kita tambahi tentang kefahaman tentang masalah semasa.
"Saya nak tekankan, kita tentu berbeza kedudukan tetapi
masalah manusia tidak lari. Sebelum Covid, semasa Covid, pasca Covid problemnya
itu penguasa elit yang tidak mewakili rakyat yang menganggap kuasa dan politik
itu sebagai wahana untuk mengumpul kekayaan, dan mempamerkan kesombongannya
(berlanjut) dari zaman Yunani, hingga zaman Rasul saw hinggalah sekarang.
"Oleh itu keperluan untuk kita menyuntik semangat dan menanam
kekuatan dalam diri kita. Kalau tidak, kita sekadar mengganti penjajah tetapi
kalau lihat sikap dan sosok hampir sama. Cuma kulit sahaja berbeza,"
katanya.
Dalam kesempatan itu juga, Ahli Parlimen Port Dickson itu sempat
menyingkap situasi di Malaysia yang masih bobrok dan pemikiran lama masih
menghantui elit politik.
"Sampai sekarang di Malaysia ada lagi yang berkongsi
pandangan mitos pribumi malas, walau seratus tahun lalu Jose Rizal menulis 'the
indolence of the Filipinos' tentang satu sikap yang diasak oleh penjajah
Sepanyol untuk memiskinkan rakyat dari segi pendapatan dan memiskinkan
pemikiran mereka. Ini saya tegaskan keperluan untuk membina kekuatan dan juga
asas ilmu yang cukup (mantap)," katanya lagi.
Tegas Anwar generasi muda, terutama pemuda muslim tidak harus
terperangkap dengan minda penjajah, sebaliknya perlu menggilap kecemerlangan
dari asas ilmu Islam dan tamadunnya untuk dikembangkan dalam persekitaran
semasa.