Idealisme anak muda serantau perlu kental hadapi perubahan zaman

 


Idealisme anak-anak muda serantau, sama ada di Indonesia mahu pun Malaysia perlu kental menghadapi perubahan dan kebobrokan zaman.


Hal itu ditegaskan lewat pidato Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Forum Persahabatan Malaysia - Indonesia yang dianjurkan Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (Pepiat), semalam.


Katanya, generasi muda yang merdeka fizikal hari ini perlu menguatkan mental mereka untuk bangkit sebagai manusia yang berprinsip dan idealis.


"Wajar ditekankan waktu menuntut tindakan yang berbeza. Tetapi semua bicara tentang idealisme. Bicara soal kemerdekaan jiwa, bukan sahaja fizikal


"Anak muda itu diharapkan bukan usianya tetapi idealismenya, semangat yang kental kepada keinginan membawa perubahan.


"Kita ini warisan penjajah, ramai kepimpinan kita itu sikapnya seperti penjajah. Menindas, merompak, memunggah khazanah dan kekayaan negara. Jadi hal ini patut dielak dan dibatalkan.


"Penjajah itu berjaya menguasai pemikiran dan jiwa kita. Oleh yang demikian, usaha anak muda untuk tampil memimpin mesti dipersiapkan dengan sarat ilmu dan juga akhlak," katanya dalam sidang maya tersebut yang bertajuk "Perpaduan Teras Kebangkitan Nusantara".


Dalam pidato itu Anwar menekankan betapa pentingnya ilmu dan intergriti membina sahsiah kepimpinan generasi muda.


Katanya, generasi muda wajar meneruskan kepimpinan pelajar terdahulu tetapi dengan mengambil persekitaran semasa dan keresahan rakyat hari ini sebagai inti teras perjuangan.


"Bagi kita contohi Rasullulah kerana selain akidah, adalah akhlaknya. Kita tambahi tentang kefahaman tentang masalah semasa.


"Saya nak tekankan, kita tentu berbeza kedudukan tetapi masalah manusia tidak lari. Sebelum Covid, semasa Covid, pasca Covid problemnya itu penguasa elit yang tidak mewakili rakyat yang menganggap kuasa dan politik itu sebagai wahana untuk mengumpul kekayaan, dan mempamerkan kesombongannya (berlanjut) dari zaman Yunani, hingga zaman Rasul saw hinggalah sekarang.


"Oleh itu keperluan untuk kita menyuntik semangat dan menanam kekuatan dalam diri kita. Kalau tidak, kita sekadar mengganti penjajah tetapi kalau lihat sikap dan sosok hampir sama. Cuma kulit sahaja berbeza," katanya.


Dalam kesempatan itu juga, Ahli Parlimen Port Dickson itu sempat menyingkap situasi di Malaysia yang masih bobrok dan pemikiran lama masih menghantui elit politik.


"Sampai sekarang di Malaysia ada lagi yang berkongsi pandangan mitos pribumi malas, walau seratus tahun lalu Jose Rizal menulis 'the indolence of the Filipinos' tentang satu sikap yang diasak oleh penjajah Sepanyol untuk memiskinkan rakyat dari segi pendapatan dan memiskinkan pemikiran mereka. Ini saya tegaskan keperluan untuk membina kekuatan dan juga asas ilmu yang cukup (mantap)," katanya lagi.


Tegas Anwar generasi muda, terutama pemuda muslim tidak harus terperangkap dengan minda penjajah, sebaliknya perlu menggilap kecemerlangan dari asas ilmu Islam dan tamadunnya untuk dikembangkan dalam persekitaran semasa.