Jelas sekarang, Ziyad Zulkefli bukanlah mangsa protes kotor dari
Ukraine, tetapi kesilapan besar pegawai kontinjen Malaysia yang
bertanggungjawab menguruskan kepatuhan protokol athlet istimewa itu di
Paralimpik Tokyo.
Bukan saja mereka melakukan kesilapan dengan tidak memastikan
Ziyad sampai ke call room dan mendaftarkan diri untuk pertandingan mengikut
masa yang ditetapkan, tapi Malaysia juga dihidangkan dengan cerita putar alam
kononnya kita kehilangan emas akibat protes dari negara di mana terkuburnya
pesawat MH17 itu.
Cerita protes Ukraine ini turut dimainkan oleh Menteri Belia dan
Sukan sendiri, maka netizen pembawang negara pun pantas bertindak meranapkan
kesejahteraan hidup Ukraine di alam cyber.
Cerita sebenar pantas terbongkar juga. Tiada langsung protes
dari Ukraine, tetapi rupanya Ziyad bersama 2 athlet lain telahpun
diklasifikasikan sebagai non-starter apabila gagal mendaftarkan diri di call
room. Beliau hanya dibenarkan memasuki gelanggang sementara protes dari
Malaysia dipertimbangkan oleh juri.
Tak perlulah saya ulas panjang tentang kejadian itu, kerana ia
satu peraturan yang memang biasa. Malah kekhilafan warga Malaysia dari aspek
itu juga adalah satu kebiasaan. Biasalah. Malaysia.
Saya teringat betapa munafiknya pentadbiran sukan di Malaysia
dalam aspek menepati masa ini. Dan ini mungkin satu petunjuk dari Yang Maha Esa
untuk kita sedar. Akhirnya.
Saya berikan contoh dalam perlumbaan berbasikal kategori nasional
dahulu.
Banyak kali berlaku kejadian di mana pelumba didiskualifikasi
atau tidak diklasifikasikan dalam result akibat gagal sign-in sebelum permulaan
perlumbaan.
Ada juga berlaku insiden di mana perlumbaan dilepaskan tepat
pada waktu atau ikut budaya Malaysia "give or take 15 minutes", dan
ada pasukan yang tertinggal akibat lambat sampai ke garis permulaan.
Ini semua perkara biasa berlaku dalam sukan tempatan kita.
Namun, munafiknya juga ada.
Banyak juga berlaku insiden di mana perlumbaan tertangguh,
kadangkala hingga berjam, kerana menunggu Menteri, Meneri Besar atau VIP yang
dijemput hadir untuk flag-off perlumbaan.
Tidak pula VIP itu diperludahkan saja supaya race jalan tepat
pada waktunya. Apakah dalam sukan ini VIP lebih penting dari athlet? Memang
tidak penting, tapi jelas diberi keutamaan dan double standard yang condong
melebihkan mereka.
Inilah budaya amalan kita yang bukan saja memudaratkan bila
tidak pernah dibendung, malah membawa bala besar dengan kehilangan satu pingat
emas yang sepatutnya jelas milik kita. Itulah petunjukNya.
Maka kita tidak perlu berdalih, mengkambinghitamkan negara lain
yang tidak bersalah.
Malah sempat juga memfitnah Ukraine memprotes sedangkan mereka
tidak melakukan perkara itu.
Ukraine cuma mendapat menfaat dari disiplin dan amalan budaya
profesionalisme yang lebih tinggi dari kita. Dan menfaat itu adalah pingat emas
ke-15 mereka di Paralimpik Tokyo. Mustahil mereka begitu dahagakan pingat emas
sehingga mahu mengautnya ikut pintu belakang.
Kita yang harus sedar bahawa kita telah mendapat satu pengajaran
yang amat perit akibat pembudayaan amalan yang salah dalam kehidupan kita
sendiri.
Sekian.
Arnaz M. Khairul