Langkah mengejutkan yang diambil
Parlimen Malaysia melalui sepucuk surat bertarikh 16 Oktober 2020 yang dihantar
Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia kepada ketua-ketua
pengarang media, memaklumkan bahawa hanya 15 media yang dinamakan di dalam
surat tersebut akan dibenarkan hadir di Parlimen untuk membuat liputan
sepanjang sidang Parlimen dari 2 November ke 23 Disember ini merupakan satu
diskriminasi.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Fahmi Fadzil langkah mengundur ke belakang itu hanya akan menyebabkan laporan
yang kurang seimbang, sama ada dari seri perbahasan atau sidang media Parlimen,
dilaporkan oleh media-media terpilih.
"Saya kesal arahan pihak
Parlimen menghalang media, terutama media atas talian, dari menghadiri dan
membuat liputan sidang Parlimen terutama pada ketika Belanjawan 2021 akan
dibentang dan dibahas.
"Sebenarnya inilah waktu paling
penting untuk lebih banyak media hadir membuat liputan, kerana sidang akan
memperlihat perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat bagi
tahun akan datang.
"Dalam keadaan ekonomi yang
suram dan negara dilanda wabak Covid 19, semestinya bagaimana kerajaan mengurus
perbelanjaannya akan menjadi perhatian semua.
"Perlu diingatkan media adalah
estet keempat dan salah satu tiang seri demokrasi," katanya dalam satu
kenyataan.
Bagi Fahmi, sekiranya keterbatasan
ruang Parlimen menjadi alasan maka terdapat pelbagai cara untuk membenarkan
media terus membuat liputan dengan sedikit penyesuaian atau pengubahsuaian
ruangan yang sedia ada.
"Sekiranya benar pihak Parlimen
berpandangan ruang petugas media tidak mencukupi, saya percaya terdapat banyak
ruang yang boleh diubahsuai menjadi tempat petugas media.
"Sebagai contoh, sekiranya tempat
media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas, bilik-bilik
jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah juga
bangunan pejabat Ahli-Ahli Parlimen boleh diubahsuai dengan mudah untuk
membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar SOP MKN dan KKM.
"Malah jika perlu, khemah khas
seperti yang biasa didirikan untuk para VIP sewaktu program-program Kementerian
di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media.
"Bak kata pepatah, 'Hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih'," sinis Fahmi.
Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi,
Seni dan Budaya itu sebaliknya memberi amaran, sekiranya Speaker Parlimen,
Azhar Azizan Harun tidak mengambil pendirian yang lebih positif dalam hal
berkenaan maka rakyat akan hilang kepercayaan terhadap laporan sidang Parlimen.
Seterusnya hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen itu sendiri.
"Kehadiran media di Parlimen
penting, terutama dari sudut kebebasan bersuara. Malah yang saya risau arahan
ini bakal menimbulkan salah faham dengan membayangkan Parlimen mengekang
kebebasan bersuara dan hanya membenarkan pandangan rasmi sahaja diterbitkan.
"Masa masih ada, dan saya lihat Datuk Azhar Azizan Harun,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, boleh membetulkan keadaan. Saya memohon agar Datuk
Speaker mempertimbang semula arahan yang dikeluarkan pentadbiran Parlimen ini,
bukan sahaja demi kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga demi kemuliaan Dewan Rakyat itu
sendiri," katanya lagi.