1. Sementara Istana menitahkan tiada pertemuan sehingga tamat
PKPB 27hb Okt, bahang politik di luar tidak memperlihatkan suhu menurun. Sosok
Ku Li mendapat perhatian media lebih kurang sama seperti DSAI pada 13 Okt lalu
dengan semua orang tertanya-tanya , 'kenapa Ku Li setelah DSAI?'
2. Spekulasi bahawa kemungkinan Ku Li mewakili sokongan MP UMNO
yang menyokong DSAI menguasai medan perbualan rakyat pada 13 Okt tetapi Ku Li
dengan pantas menepisnya dengan menyatakan kehadiran beliau selepas DSAI
mengadap YDPA ialah sebagai sesi biasa.
3. Esoknya 14hb Okt, terdedahlah surat Ku Li bertarikh 25hb Sept
yang ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menuntut
supaya usul Undi Tidak Percaya sebelum ini kepada kerajaan TSMY selaku PM perlu
didahulukan dan dibahaskan. Surat panjang lebar itu juga menetapkan isu
keperlembagaan seharusnya menjadi panduan kepada Speaker yang tugasnya adalah
memelihara keluhuran undang-undang dalam Aturcara dan Peraturan Parlimen yang
diperuntukkan dibawah Perlembagaan Persekutuan.
4. Berserta surat tersebut ialah satu kejutan besar yang
dilontarkan umpama bom jangka kepada kerajaan PN tentang kekhuatiran MP Gua
Musang itu terhadap kebebasan parlimen yang menurutnya telah dikompromi melalui
sogokan jawatan berpendapatan di kalangan MP. Keadaan ini tegas beliau boleh
menjejas tujuan pengundian yang cenderong kepada menyokong kerajaan kerana
penyogokan tadi. Speaker juga seolah diberi 'warning' bahawa penulis surat akan
meneliti samada Speaker Dewan sendiri telah cuai dalam menjalankan tugasnya
memelihara peruntukan perlembagaan dalam Perkara 62 dan 43 Perlembagaan
Persekutuan ketika menolak usul tidak percaya ini yang pernah dibawa 2 kali.
5. Saya berpendapat, jikalaulah Ku Li layak mendapat perhatian,
maka ia adalah kerana surat ini dan isinya yang sangat menyengat! Surat ini
memungkinkan kita menoleh kepada medan baru polemik pasca 13 Oktober dengan
timbulnya berbagai persoalan menarik yang mendesak. Apa kaitannya dengan
dakwaan majoriti DSAI? Apakah tarikh 25 Sept surat Ku Li dan pengumuman pertama
DSAI pada 23hb Sept disusun secara sedar? Kenapa isu sogokan atas alasan
menjejaskan kewibawaan parlimen dan kebebasannya dibangkitkan? Kenapa keras
amaran Ku Li kepada Speaker kerana gagal mengutamakan Usul Tidak Percaya ini?
Apakah ia 'Langkah Ku Li' vs 'Langkah DSAI?' ataukah gabungan dan sinergi Ku Li
& DSAI untuk jatuhkan kerajaan 'penyogokan' TSMY?
6. Saya memilih untuk melihat persoalan di atas secara zahir
dalam memahami faktor Ku Li dalam sifir ini. Ini adalah kerana saya yakin
beliau sebagai MP paling senior yang lahir di kalangan keluarga Istana,
senantiasa dibimbing oleh tanggungjawab dan amanah beliau sebagai pelindung
perlembagaan dan pemelihara undang-undang. Ku Li bertindak demikian supaya;
a. Untuk melunaskan tanggung jawabnya terhadap kenyataan awal
DSAI yang mendakwa ada majoriti. Dakwaan ini sangat serius kepada sistem
berparlimen kerana DSAI mengisyaratkan TSMY sudah tidak lagi menjadi PM (berpandukan
kepada Perkara 43, yang dibangkitkan oleh Ku Li). Ini dikuatkan lagi bahawa
usul Tidak Percaya pernah dibawa sebelum ini oleh Langkawi yang menerima
layanan hambar Speaker.
b. Mengingatkan TSMY bahawa beliau perlu membuktikan sebaliknya
jika beliau mahu meneruskan memimpin pentadbiran negara kerana dakwaan DSAI
menjadikan TSMY sudah tidak ada kuasa lagi untuk mentadbir negara dan justeru
itu hanya Usul Undi Tidak Percaya yang akan dapat mengesahkan kebenaran dakwaan
DSAI atau sebaliknya.
c. Menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan PN
sudah hilang tapak moralnya dan telah menodai kebebasan institusi parlimen
dengan 'penyogokan' jawatan berpendapatan di kalangan MP sekaligus menjejaskan
tujuan undian yang bebas di parlimen (48 (1l (c)) Amaran keras kepada Speaker
pula bertujuan supaya Speaker meletakkan kesedaran dhamirnya bahawa setiap
urusan kerajaan melalui kelulusan parlimen menjadi tidak relevan selagi
keabsahan ketua eksekutif negara iaitu PM tidak ditentukan kedudukannya sedari
awal.
7. Sementara itu, hubungan tegang UMNO dan Bersatu menekan
kerajaan PN ke arah kejatuhannya. Orang bertanya kepada saya bolehkah PN jatuh?
Saya menjawab bukan soalan samada PN boleh jatuh atau tidak, tetapi ia lebih
kepada soalan bila PN akan jatuh?
8. Ketika Istana menutup pintunya selama 2 minggu, mata rakyat
kini tertumpu kepada arena baru iaitu gelanggang Parlimen. Jangan lupa bahawa
YDPA melantik PM di atas kuasanya yang pada pandangan Baginda meyakini calon
tersebut ada majoriti, tetapi soal samada benar atau tidak seorang PM ada
majoriti atau tidak hanya akan diuji kesahihannya di kalangan 222 MP di
parlimen. Inilah satu hakikat yang TSMY gagal lunaskan sejak 1 March yang lalu
apabila beliau angkat sumpah sebagai PM ke 8. Dengan kata lain samada dalam
Istana atau Parlimen kedua-dua gelanggang ini boleh menentukan keabsahan
seseorang PM dan kerajaannya apabila dipertikaikan.
9. Kerajaan PN sudah pun runtuh secara moralnya dengan sidang
media DSAI 23hb Sept dan dengan 'surat berbisa' Ku Li pada 25hb Sept. Pasca 13
Okt adalah proses keabsahan yang pada hemat saya dengan faktor Ku Li muncul,
dijangkakan institusi parlimen dijadikan sebagai medium kata pemutus krisis
kepimpinan negara hari ini. Jika andaian ini benar, proses verifikasi dakwaan
DSAI itu akan berlaku mengikut proses di parlimen dan bukan di istana bermula
pada 2hb November ini. Jikalau proses Usul Tidak Percaya berjaya dibawa sebelum
Bajet 6hb November, ini bermakna Bajet 2021 akan dibentang oleh kerajaan
baharu.
10. Masa 2 minggu ini akan menyaksikan tekanan demi tekanan ke
atas TSMY dan kerajaannya supaya berundurlah secara terhormat. Pada18hb Okt
pula iaitu hari Sabtu, katanya keputusan penting mesyuarat MT UMNO akan dibuat
untuk memutuskan nasib hubungan UMNO dan PN. Sebaik saja pengumuman pada petang
18 Oktober, satu lanskap baru dijangka akan terbentuk, ia akan menentukan
halatuju kepimpinan negara. Jika penarikan diri 39 MP UMNO dari menyokong TSMY
benar-benar berlaku , maka secara fizikalnya kerajaan PN akan runtuh pada Sabtu
petang ini.
Walaupun demikian, saya ingin ingatkan pendokong PH khususnya
dan rakyat Malaysia amnya supaya kita jangan cepat membuat rumusan secara final
lagi, kerana episod PN jatuh hanyalah permulaan kepada keabsahan langkah DSAI,
soalnya apakah kejatuhan ini akan berpihak kepada natijah akhir yang
mendambakan kerajaan yang kuat dan kukuh majoritinya untuk berhadapan dengan
krisis covid? Atau, akan sampaikah kita ke destinasi akhir iaitu terbentuknya
kerajaan rakyat yang berintegriti dan berpegang teguh pada prinsip perundangan?
Natijah dihujung semua senario ini penting kerana segala proses pasca 13
Oktober akan jadi berbaloi jika tercapai objektif ke arah kerajaan yang kuat
dan stabil sejak kita memulakan jalan kembali menamatkan kerajaan tebuk atap.
Seminggu dua ini diharapkan bunga-bunga jawapan akan berputik
sementara kita akan menyaksikan pada waktu yang sama kejatuhan PN sebagai kerajaan
paling singkat yang pernah memerintah dalam sejarah negara!
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH
16 Okt 2020