“Saya ingin ucap terima kasih sendiri kepada (Datuk Seri) Anwar. Saya perlu hanya satu minit sahaja untuk berjumpa, tidak lebih. Tidak ada niat bercakap berkenaan politik.”
Itu kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dua tahun lalu berhubung usahanya untuk menziarah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir berhasrat untuk menyampaikan penghargaan selepas Anwar bersetuju dengan cadangan pencalonannya sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Dalam gabungan empat parti komponen PH ketika itu, parti terlibat iaitu PKR, Amanah, Bersatu dan DAP bersetuju agar semua keputusan dibuat secara konsensus iaitu dengan dipersetujui oleh semua empat parti.
Jika ada mana-mana satu parti tidak bersetuju, ia tidak akan diterima sebagai keputusan PH.
Apabila Dr Mahathir dicalon sebagai bakal Perdana Menteri untuk PH, tiga parti bersetuju, tetapi PKR tidak membuat keputusan.
Namun pada saat terakhir PKR bersetuju.
Masa yang panjang itu diambil oleh PKR dipercayai disebabkan rasa tidak senang dengan Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri ketika Anwar dipenjara.
PKR bersetuju dan pada PRU-14, PH menang manakala Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-7.
Betul kata Dr Mahathir, persetujuan tersebut kerana Anwar dapat mengatasi perasaannya dan mengutamakan kepentingan negara lebih daripada perasaan diri sendiri.
Pastinya, bukan mudah bagi Anwar terutamanya. Tetapi jelas Anwar utamakan negara lebih daripada dirinya.
Hari ini, wujud persimpangan. Persoalannya hampir sama, iaitu soal siapa akan menjadi perdana menteri PH.
Apabila Dr Mahathir dicalon sebagai bakal perdana menteri untuk PH, DAP dan Amanah bersetuju, tetapi PKR menolaknya.
Sehingga artikel ini ditulis, PKR masih kekal dengan pendirian tersebut.
Pasti penyokong gabungan PH atau kini dikenali sekarang sebagai PH Plus, mahu satu penyelesaian yang terbaik untuk keadaan ini.
Justeru, kita mengharapkan kedua-dua tokoh ini, yang telah mewarnakan persada politik negara sejak sekian lama, untuk mencari titik persamaan dalam memastikan kesinambungan mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU-14 dapat diteruskan.
Seluruh komponen PH Plus perlu memusatkan tekad bersama untuk berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) yang kini memegang tampuk pemerintahan negara.
Segala emosi dan perasaan perlu diketepikan ketika ini. Pastinya bukan mudah tetapi ia tetap perlu dilakukan demi masa depan PH serta mandat yang digalasnya.
Setiap hari, kita mengharapkan agar ada perkembangan positif dalam perkara ini.