·
NIK HASYUDEEN
Di antara korupsi dan rasuah
Semalam saya menghadiri satu perbincangan berkenaan usaha untuk
menjadikan masyarakat lebih patuh kepada arahan Allah supaya tidak menzalimi
sesama manusia dengan terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa.
Saya bangkitkan berkenaan perbezaan istilah yang digunakan untuk
menamakan dosa ini di Indonesia berbanding dengan Malaysia. Di Indonesia
penekannya ialah membenteras “korupsi” manakala di Malaysia “corruption”
diterjemahkan sebagai “rasuah”. Lihatlah nama SPRM di dalam bahasa Melayu dan
Inggeris.
Rasuah di dalam kefahaman umum adalah lebih kecil berbanding
dengan korupsi. Mungkin di dalam bahasa Inggerisnya ialah “bribery” atau pun
suapan. Manakala korupsi jauh lebih luas sifatnya yang menggambarkan kehancuran
nilai di dalam jiwa pelakunya dan merangkumi pelbagai dosa seperti
menyalahgunakan kedudukan dan kuasa, menipu, mencuri dan juga makan suap.
Kesemua dosa-dosa di atas melibatkan pengambilan hak manusia
secara zalim. Di hari Jumaat ini, marilah kita renung perintah Allah berkenaan
dosa-dosa ini:
وَلَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
وَتُدْلُوْا بِهَآ اِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوْا فَرِيْقًا مِّنْ اَمْوَالِ
النَّاسِ بِالْاِثْمِ وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ ࣖ
Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang
batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan
maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa,
padahal kamu mengetahui.
Al Baqarah: 188
Sekiranya perisian telefon pintar atau komputer kita sudah
korup, apa yang akan kita lakukan? Biasanya kita cuba gantikan dengan perisian
yang baik. Jika tidak boleh, telefon atau pun komputer berkenaan sudah tidak
mampu berfungsi dan menjadi besi buruk sahaja.
Manusia yang korup pun begitulah. Sebagai orang Islam, kita kena
cuba selamatkan saudara kita dari api neraka, bukannya berlumba-lumba untuk
menerakakan dia. Namun, jika dia tidak sedar diri malahan bangga dengan korupsi
yang dilakukan, kita kena buat dia macam telefon dan komputer yang perisiannya
sudah korup lah. Bukan terus mahu berikan dia kedudukan dan kuasa supaya dia
meneruskan dosa yang dilarang oleh Allah itu.
Tidakkah kita terfikir apa yang akan berlaku ke atas kita jika
kita mempertahankan orang yang korup? Apa yang saya takutkan ialah Allah akan
merekodkan kita sebagai hamba-hambaNya yang menyebar keburukan di atas muka
bumi ini. Janganlah kita menjadi seperti Firaun. Allah hantar Nabi Musa serta
saudaranya Harun untuk menyampaikan kebenaran. Ditunjukkan pelbagai mukjizat.
Akhirnya Firaun mati tanpa iman kerana tidak mahu menerima kebenaran.
Mungkin kita bersangka baik dengan menganggap seseorang yang
korup yang sudah dinasihati itu sudah bertaubat. Jangan lupa salah satu syarat
taubat ialah mengaku akan kesalahannya dan meminta maaf dari pihak-pihak yang
mana hak-hak mereka sudah diambil secara zalim. Jika dosa berkenaan melibatkan
harta negara, tentunya maaf yang diminta itu ialah dari keseluruhan rakyat, tak
boleh minta maaf senyap-senyap. Kalau tak mengaku dan menafikan pula
perbuatannya, secara zahir dia belum bertaubatlah.
Mungkin isu istilah ini perkara kecil sahaja dan tidak akan
mengubah keadaan pun. Namun, memahamkan masyrakat berkenaan keburukan dosa
korupsi adalah penting kerana di dalam sistem demokrasi, merekalah yang akan
memberi undi kepada orang-orang politik yang akan diberikan kedudukan dan
kuasa. Sekiranya rakyat kita selesa dengan orang yang korup, maka negara ini
akan ditadbir oleh mereka. Orang yang korup pula tentunya akan selesa dengan
pegawai-pegawai yang sama fikrah dengan mereka. Tak kan mereka nak naikkan
orang-orang yang jujur dan amanah pula?
Memang usaha membawa kebaikan bukannya senang. Ada banyak kisah
nabi-nabi dengan kaum masing-masing yang sampai kepada kita. Hadi Ahad lepas
saya diberikan sebuah buku oleh Dr. Sahrulazmi Sidek yang berjodol 13 Kaum Yang
Binasa. Di samping cerita kaum Nabi Lut yang dosanya amat dibenci oleh
masyarakat kita, ada juga cerita berkenaan kaum Madyan yang menipu di dalam urusniaga.
Di zaman moden ini, dosa ini berlaku di sektor awam dan juga swasta. Jadi,
kenalah lawan dosa ini sama dengan kita membenci dan melawan dosa kaum Nabi
Lut. Jangan pilih-pilih dosa untuk dibenci pula.
Kalau kita tak belajar lagi dari kemusnahan kaum-kaum sebegini,
layaklah kita mendapat balasan dari Allah yang Maha Adil itu.