PKR kecam Marzuki khemah besar tanpa Anwar
Kenyataan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya yang setuju dengan konsep gabungan khemah besar bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi tanpa pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dikeluarkan dan tidak dapat diterima sama sekali.
Menurut Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Langat, David Cheong, sikap Marzuki itu merupakan penerusan sejak Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri yang mempunyai dendam peribadi terhadap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar.
“Saya amat kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden Pejuang bersetuju khemah besar diwujudkan tapi tolak Anwar Ibrahim.
“Saya tidak terkejut dengan kenyataan ini, keputusan ini sudah lama boleh dibaca sejak Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri Ke-8 lagi.
“Kejatuhan Kerajaan pimpinan PH memimpin kerajaan pusat selepas PRU14, dan kegagalan peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir kepada Anwar memberi bayangan awal kepada senario yang berlaku kini.
“Sebaliknya, keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Anwar sebelum PRU14 dan kesabaran menanti peralihan kuasa telah dinodai oleh kebencian dan dendam oleh Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi David, kegagalan peralihan kuasa pada 2020 jelas disebabkan oleh sikap Tun Mahathir yang menolak mengamalkan ketelusan dan melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan selama dua dekad oleh PH.
Katanya, sepatutnya di penghujung usia Tun Mahathir wajar bermuhasabah diri dan peluang perlu diberikan kepada Anwar untuk menerajui pembangkang menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Inilah masa yang sesuai untuk semua parti berkerjasama di bawah satu payung besar untuk mencapai matlamat memenangi PRU15.
“Ketepikanlah agenda peribadi dan kepentingan diri serta jangan menghancurkan harapan rakyat dengan memecah belahkan perpaduan sedia ada tanpa hala tuju dan matlamat yang jelas.
“Tanpa kerjasama daripada KEADILAN maka amat sukar untuk Pejuang dan barisan pembangkang mencapai kejayaan dalam PRU15.
“Saya tidak nampak siapa lagi yang mampu serta berkeupayaan untuk mengetuai pembangkang kecuali Anwar. Pengaruh, kredibililiti, keupayaan dan kehebatan membuktikan beliau adalah individu yang tepat dan layak mengetuai barisan pembangkang menjelang PRU15,” katanya lagi.